
Selangor FC berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertimbangkan rayuan mereka terhadap hukuman yang dikenakan susulan insiden penyokong pada aksi suku akhir kedua Piala FA 2025-26 menentang Negeri Sembilan FC, sebelum aksi timbal balik separuh akhir menentang Sabah FC pada 30 Nov ini.
Kelab itu menegaskan mereka tidak menyokong sebarang tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan pihak lain semasa perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya. Selangor juga menjelaskan empat insiden yang membawa kepada hukuman FAM, termasuk dakwaan pembakaran dan pelontaran mercun serta kerosakan bangku tempat duduk, yang menurut pihak kelab, tidak melibatkan penyokong mereka.
Selain itu, kelab menafikan bahawa tetamu VVIP Selangor FC melontar bekas minuman plastik dan menegaskan kekecohan berpunca daripada penyokong pasukan pelawat. Seramai 170 pegawai keselamatan dan anggota polis disediakan semasa perlawanan untuk menangani sebarang insiden.
Sabtu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, mengumumkan Selangor FC akan beraksi di stadium kosong pada aksi separuh akhir kedua menentang Sabah FC dan didenda RM100,000 akibat kesalahan berulang mengikut Kod Tatatertib FAM.
Sumber: BERNAMA







