DomestikSemasa

Situasi banjir dan usaha bantu rakyat Malaysia di Thailand antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini memberi tumpuan kepada tindakan segera kerajaan membantu rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Thailand ekoran banjir besar, selain perkembangan terkini situasi banjir di seluruh negara menjelang musim tengkujuh. Dalam aturan mesyuarat, Wong Shu Qi dari Kluang meminta penjelasan Menteri Luar mengenai usaha pantas yang dilaksanakan untuk memindahkan dan melindungi rakyat Malaysia yang terperangkap, serta langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Nurul Amin Hamid dari Padang Terap turut mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri berhubung status semasa banjir di setiap negeri dan tahap kesiapsiagaan kerajaan menghadapi risiko gelombang hujan seterusnya. Isu keselamatan tenaga juga menjadi perhatian apabila Lim Lip Eng dari Kepong meminta penjelasan mengenai langkah Tenaga Nasional Berhad dan pihak berkuasa menangani pembukaan akaun elektrik tanpa pengetahuan pemilik bagi tujuan kecurian serta jaminan bahawa mangsa tidak akan dipertanggungjawabkan atas hutang yang terhasil.

Sesi soal jawab lisan menyentuh aspek perlindungan sosial apabila Mordi Bimol dari Mas Gading meminta Menteri Kewangan menjelaskan sama ada kerajaan bercadang menambah atau memperbaharui dana skim mySalam yang semakin berkurang sejak sumbangan RM2 bilion pada 2019. Beliau turut mempersoalkan pelan jangka panjang untuk memastikan perlindungan kesihatan golongan B40 terus berkesinambungan, termasuk kemungkinan integrasi dengan Skim Perubatan MADANI.

Turut dibangkitkan ialah soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa dari Tampin kepada Menteri Komunikasi mengenai penilaian keupayaan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak atau PRIME. Beliau meminta penjelasan tentang nilai tambah sistem tersebut berbanding aset komunikasi sedia ada milik pelbagai agensi keselamatan bencana dan keberkesanannya selepas diuji dalam simulasi kecemasan berskala besar.

Selepas sesi pertanyaan selesai, Dewan Rakyat meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2026 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button