EkonomiSemasa

TNB dan TERAJU perkukuh vendor bumiputera melalui Program PV 3.0

Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperkukuh kerjasama strategik melalui Program Pembangunan Vendor Bumiputera 3.0 (PV 3.0) TNB, sebagai sokongan terhadap agenda kerajaan memperkasa ekonomi bumiputera serta selaras dengan dasar peralihan tenaga negara.

TERAJU memaklumkan inisiatif itu bukan sahaja menyediakan peluang perolehan, malah bertindak sebagai pemangkin transformasi vendor bumiputera untuk menembusi rantaian bekalan industri tenaga dan teknologi hijau serta bersaing di peringkat global.

“PV 3.0 bukan sahaja membuka peluang perniagaan baharu, malah memberi laluan strategik kepada vendor bumiputera untuk berkembang dan bersaing dalam industri tenaga dan teknologi hijau. Kejayaan vendor adalah kejayaan TNB dan kejayaan negara,” menurut kenyataan itu.

Lebih 3,600 vendor bumiputera kini aktif dalam ekosistem perolehan TNB. PV 3.0 menyasarkan 55 peratus perbelanjaan perolehan disalurkan kepada vendor bumiputera menjelang 2030, berbanding 47.8 peratus pada tahun kewangan 2024, serta pelantikan lebih 1,700 vendor baharu bagi memperkukuh ekosistem penyertaan vendor tempatan.

Program yang dilancarkan pada 2024 itu menekankan tiga teras utama iaitu peluang pasaran perniagaan, akses pembiayaan kewangan dan pembangunan kompetensi vendor. Bagi teras peluang pasaran perniagaan, TNB memperkenalkan Bumiputera Consultant Global Framework Agreement (BCGFA) bagi meningkatkan penyertaan juruperunding bumiputera dalam projek peralihan tenaga dan konsultansi.

Dalam teras pembiayaan kewangan, TNB menandatangani Letter of Collaboration (LOC) dengan TERAJU untuk menyediakan skim pembiayaan khas bagi vendor bumiputera, manakala teras pembangunan kompetensi vendor melibatkan penajaan vendor berkelayakan mengikuti latihan teknikal TNB dan program TVET bagi melahirkan tenaga mahir bumiputera yang mampu menembusi pasaran tenaga global.

Kolaborasi ini turut menyokong Dasar Pemerkasaan Bumiputera (TPB2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), sejajar dengan usaha negara memperkukuh ekonomi hijau, digitalisasi dan daya saing global.

Antara projek utama di bawah PV 3.0 termasuk Solar Terapung Hibrid Hidro, Taman Solar Berpusat, Ladang Solar, pengecas EV dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), yang menjadi teras dalam pelan peralihan tenaga negara.

Usaha ini menekankan pengukuhan keupayaan ekonomi vendor bumiputera melalui peluasan peluang saksama, pengurangan kebergantungan serta masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

— BERNAMA

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button