Sebanyak 10 acara sukan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Songkhla dipindahkan ke Bangkok bagi Sukan SEA 2025 di Thailand yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini, susulan kejadian banjir teruk di selatan Thailand.
Keputusan pemindahan itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-33 dan Sukan Para ASEAN ke-13, yang dipengerusikan Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Atthakorn Sirilatthayakon. Mesyuarat turut dihadiri Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand, Dr Kongsak Yodmanee, wakil persatuan sukan serta pegawai berkaitan.
Menurut kenyataan rasmi Facebook temasya itu, banjir di Songkhla telah menyebabkan kerosakan dan menjejaskan tahap kesiapsiagaan untuk penganjuran acara, sekali gus memaksa pemindahan lokasi bagi memastikan kelancaran temasya.
Kesemua 10 acara yang dipindahkan ke Bangkok termasuk Muay Thai, bola sepak lelaki, catur, kabaddi, wusyu, pencak silat, judo, petanque, karate dan gusti. Sementara itu, acara biliard dan snuker yang sebelum ini dijadualkan di Chonburi turut dipindahkan ke Bangkok.
Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan atlet dan kelancaran penganjuran Sukan SEA 2025.
Sumber: BERNAMA






