SemasaSukan

Glasgow 2026: Izzat Shameer Bermula Langkah Kanan, Tekad Perbaiki Persembahan

Pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki meskipun berjaya meraih kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan D acara singles lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Pusat Scottish Event Campus (SEC) hari ini.

Izzat Shameer bermula langkah kanan apabila menewaskan wakil Kepulauan Falkland, Cecil Alexander 2-0 menerusi keputusan set (10-3, 7-4).

Atlet berusia 44 tahun itu mengakui sedikit gementar pada awal perlawanan pembukaan berkenaan, namun pengalaman itu membantunya menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan serta membina keyakinan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

“Alhamdulillah, ia satu permulaan yang agak baik. Walaupun ada sedikit rasa gementar, secara keseluruhan masih banyak perlu diperbaiki.

“Dalam kumpulan saya masih ada tiga lawan yang agak sukar iaitu India, Malta dan Kanada. Hari ini memberi peluang kepada saya merasai suasana pertandingan, jadi mungkin esok saya akan tampil lebih yakin,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Mengulas mengenai aspek teknikal yang perlu diteliti, Izzat Shameer yang membuat penampilan kali kedua di temasya Sukan Komanwel menegaskan beliau mahu mengurangkan kesilapan balingan short bagi memastikan kawalan mata yang lebih baik.

“Untuk aksi esok, saya rasa mungkin bola yang short itu perlu dibaiki dengan kurangkan bola short. Sebab rugilah bola short itu tidak membantu untuk saya mendapatkan mata. Jadi esok mungkin perlu lebihkan sedikit bola ke belakang dan lebih fokus pada draw,” tambahnya.

Izzat Shameer dijadualkan menentang Shaun Parnis dari Malta dalam aksi kumpulan kedua esok.

Sementara itu, gandingan beregu wanita negara, Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman turut akan memulakan cabaran Kumpulan D bagi acara pairs dengan menentang wakil Kepulauan Falkland dan Jersey.

Sumber: Agensi Berita Rasmi

Related Articles

Back to top button