
Dua menteri berhaluan kanan ekstrem dalam kerajaan Israel telah menggesa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu agar menyekat pengerahan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) ke Semenanjung Gaza.
Menerusi satu surat rasmi yang dihantar pada Isnin, Menteri Kewangan Bezalel Smotrich dan Menteri Penempatan Orit Strock menuntut agar Kabinet Perang Israel mengadakan mesyuarat tergempar bagi menggantung kemasukan pasukan tentera antarabangsa berkenaan ke kawasan enklaf tersebut.
Kedua-dua menteri berkenaan mendakwa keputusan awal Kabinet Perang membenarkan penempatan ISF adalah berdasarkan “maklumat yang salah”. Mereka mendakwa pelan tindakan Lembaga Keamanan (Board of Peace) bagi Gaza adalah berbahaya kepada keselamatan Israel serta bercanggah dengan matlamat pelucutan senjata Hamas.
“Keputusan untuk membenarkan kemasukan ISF dibina atas maklumat yang salah dan pelan tindakan tersebut bertentangan sama sekali dengan usaha demiliterisasi Gaza,” mendakwa menteri-menteri berkenaan menerusi laporan akhbar The Times of Israel.
Keretakan Dalaman Dan Bidasan Pembangkang
Penempatan ISF di Gaza merupakan sebahagian daripada empat badan yang ditubuhkan untuk mentadbir Gaza di bawah rangka kerja pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang telah diluluskan menerusi Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB pada 17 November 2025. Minggu lalu, Kabinet Perang Israel secara rasmi meluluskan rancangan penempatan pasukan tersebut.
Dakwaannya bahawa kabinet dipengaruhi “maklumat yang salah” mencetuskan kecaman pedas daripada Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid. Lapid menuntut agar kedua-dua menteri menamakan individu dalam pentadbiran yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak tepat berkenaan.
“Memandangkan ini adalah isu diplomatik yang dimuktamadkan bersama pihak Amerika Syarikat, bolehkah anda menyatakan siapa sebenarnya yang menyampaikan maklumat yang salah ini dalam kabinet?
“Adakah terdapat individu yang lebih senior yang menguruskan rundingan dengan Amerika? Menteri kabinet tidak boleh melemparkan tuduhan serius tanpa menamakan pihak yang dimaksudkan,” tempelak Lapid.
Keganasan Dan Pencabulan Gencatan Senjata
Desakan politik ini berlaku ketika situasi kemanusiaan di Gaza terus memburuk. Sejak konflik tercetus pada Oktober 2023, pencerobohan rejim Israel telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin—kebanyakannya wanita dan kanak-kanak—serta mencederakan melebihi 174,000 orang.
Meskipun perjanjian gencatan senjata telah dikuatkuasakan secara rasmi sejak 10 Oktober 2025, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa serangan berterusan tentera Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,250 lagi nyawa dan mencederakan 4,110 penduduk sepanjang tempoh gencatan tersebut.
Sumber: TRT World / Agensi / The Times of Israel







