EkonomiSemasa

Manfaatkan Hubungan Erat Malaysia-China, Luaskan Pasaran Produk Tempatan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru agar hubungan erat antara Malaysia dan China dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan jumlah eksport serta memperluas pasaran produk tempatan di peringkat global.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya pada Khamis, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited untuk terus memperkukuh persekitaran perniagaan serta membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melangkah lebih jauh ke pasaran antarabangsa. Langkah ini bertujuan memastikan lebih banyak perniagaan tempatan dapat meraih manfaat langsung daripada jalinan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Penganjur Persidangan Usahawan Malaysia-China (MCEC) 2026 yang diketuai oleh penasihatnya, Tan Sri Barry Goh Ming Choon, bagi membincangkan hala tuju penganjuran edisi ke-16 persidangan berprestij tersebut.

Perdana Menteri menyatakan sokongan penuh kerajaan terhadap penganjuran MCEC 2026 sebagai platform strategik untuk mempererat hubungan perdagangan, pelaburan, serta jaringan perniagaan antara komuniti korporat Malaysia dan China. Beliau turut menzahirkan harapan agar persidangan tersebut terus membuka lebih banyak peluang ekonomi bernilai tinggi, khususnya dalam membantu usahawan tempatan dan syarikat Bumiputera menembusi pasaran China termasuk dalam sektor industri halal.

Sumber Maklumat: BERNAMA

Related Articles

Back to top button