Kelab bola sepak gergasi Türkiye, Galatasaray, membidas aduan yang dikemukakan kerajaan Israel kepada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) berhubung tindakan penyokong kelab itu mempamerkan sepanduk menyokong rakyat Palestin semasa perlawanan.
Menjelang aksi menentang Aston Villa pada Selasa lalu, Presiden kelab, Dursun Ozbek mendedahkan bahawa kerajaan Israel pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu telah membuat laporan kepada UEFA mengenai sepanduk solidariti Palestin yang dipamerkan oleh para penyokong Galatasaray.
“Kami ada mendengar bahawa kerajaan Netanyahu telah mengadu kepada UEFA tentang kelab kami gara-gara sepanduk yang dipamerkan oleh peminat kami sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.
“Sebagai negara Türkiye, kami akan terus berdiri teguh bersama golongan yang tertindas, sebagaimana yang telah kami lakukan sepanjang sejarah, dan enggan berdiam diri terhadap penderitaan rakyat Palestin,” kata Ozbek.
Menurut Ozbek, persembahan sepanduk berkenaan merupakan manifestasi solidariti kemanusiaan dan bukannya pendirian politik, sekali gus menggesa UEFA agar tidak tunduk kepada apa yang disifatkannya sebagai tekanan bermotifkan politik.
“Bola sepak dijauhkan daripada politik bukan dengan menghukum kedudukan kemanusiaan dan kesedaran nurani, tetapi dengan menghalang sukan ini daripada menjadi subjek tekanan politik,” tegasnya.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Türkiye, Osman Askin Bak turut memuji para penyokong Galatasaray dengan menyifatkan tindakan mereka sebagai ungkapan solidariti yang berprinsip.
“Kami tidak akan berdiam diri dalam menghadapi penindasan Israel terhadap rakyat Palestin, dan kami akan terus berjuang untuk hak serta keadilan,” tulis Bak menerusi satu hantaran di platform X.
Penyokong Terus Zahirkan Solidariti Bersama Palestin
Penyokong Galatasaray sememangnya kerap mempamerkan sepanduk yang menyokong rakyat Palestin dan menentang perang genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza dalam kedua-dua saingan domestik mahupun perlawanan antarabangsa.
Pada perlawanan Liga Juara-Juara UEFA menentang Aston Villa pada Selasa lalu, para penyokong dilihat memaparkan mesej-mesej solidariti antaranya berbunyi “Jangan sekali-kali melupakan Gaza, tiada kesunyian untuk Genosid!”, “Biarkan bayi Gaza hidup” dan “Bebaskan Palestin”.
Dalam aksi yang berlangsung di Rams Park, Istanbul itu, Galatasaray berjaya menewaskan kelab dari England berkenaan dengan keputusan 1-0.
Sumber: TRT Haber







