Empat Tahun MADANI: Reformasi Pendidikan Utamakan Murid, Tangani Keciciran

Bantuan terus kepada murid serta pelaksanaan intervensi pembelajaran bersasar menjadi antara kekuatan utama reformasi pendidikan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memastikan tiada anak-anak tercicir daripada arus pendidikan negara.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata Program Anak Kita (PAK) merupakan antara inisiatif berimpak tinggi yang memberikan manfaat besar menerusi tumpuan khusus terhadap murid yang ketinggalan dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
“Sekiranya dapat dibantu lebih awal, maka itu adalah sesuatu yang jauh lebih baik. Pada pandangan saya, ini merupakan sebuah program yang sangat baik dan manfaatnya amat besar sekali kepada anak-anak kita yang mengalami keciciran dalam penguasaan 3M,” katanya kepada Bernama bersempena dengan ulang tahun keempat pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menurut beliau, PAK berjaya membantu menangani peningkatan bilangan murid yang berdepan masalah literasi pascapandemik COVID-19, dan wajar diteruskan agar murid yang ketinggalan akibat faktor kemiskinan, kurang sokongan ibu bapa serta masalah pembelajaran menerima bantuan awal sebelum melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.
Impak dan Pencapaian Program Anak Kita
Berdasarkan dokumen “Empat Tahun Kerajaan MADANI: Dari Dasar ke Realiti Kesejahteraan Rakyat” yang diterbitkan oleh Unit Pantau MADANI, Pejabat Perdana Menteri, seramai 89 peratus daripada 10,116 murid yang menyertai Program Pecutan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berjaya lulus peperiksaan berkenaan.
Dokumen tersebut turut menyenaraikan pelaksanaan Tuisyen MADANI secara percuma di 1,500 buah sekolah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyokong pembelajaran murid.
Bagi tahun 2025 pula, sebanyak 57 peratus daripada 53,252 peserta Program 3M berjaya kembali mengikuti kelas arus perdana, manakala komponen SPM yang melibatkan 20,000 murid merekodkan kadar kelulusan 98 peratus dan komponen Cicir Sistem membabitkan 500 murid mencatatkan kelulusan SPM sebanyak 89 peratus.
Secara keseluruhan, dokumen itu merekodkan penglibatan seramai 83,868 orang pelajar daripada 2,362 buah sekolah di seluruh negara dalam PAK, yang dijayakan menerusi kerjasama strategik antara kerajaan, universiti awam, pertubuhan masyarakat sivil serta rakan korporat dan antarabangsa.
Pemilihan peserta program dilaksanakan berasaskan data bagi mengenal pasti murid yang paling berisiko tinggi untuk tercicir, termasuk mereka yang gagal atau hampir gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, serta murid pemulihan yang lemah dalam literasi dan numerasi.
Pendekatan intervensi yang digunakan merangkumi sokongan akademik, emosi dan teknologi melalui pengajaran dan pembelajaran mengikut keperluan individu, sesi bimbingan, kaunseling serta penggunaan tablet digital. Kelestarian program turut diperkukuh menerusi latihan guru, penyediaan modul amalan terbaik serta pemantauan dan penilaian secara berterusan.
Komitmen Peruntukan dan Kesinambungan 2026
Mengulas lanjut kepimpinan Perdana Menteri, Dr. Anuar berkata peningkatan peruntukan sektor pendidikan dari tahun ke tahun membuktikan komitmen jelas kerajaan untuk membantu murid secara langsung menerusi penyelenggaraan sekolah, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta kenaikan kadar Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 pada tahun hadapan.
“Kita tidak banyak melihat program yang sekadar bersifat pelancaran semata-mata, sebaliknya lebih tertumpu kepada bagaimana hendak memastikan setiap sen yang dibelanjakan daripada dana kerajaan melalui belanjawan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembelajaran anak-anak kita,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan langkah penambahan bilangan guru sebagai inisiatif kritikal memandangkan golongan pendidik merupakan tulang belakang sistem pendidikan dalam memperkukuh kualiti pengajaran mengikut bidang keperluan. Selain itu, perhatian awal Perdana Menteri terhadap kerja-kerja penambahbaikan tandas sekolah mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan asas murid untuk belajar dalam persekitaran yang selesa.
Bagi kesinambungan pelaksanaan PAK pada tahun 2026, dokumen Unit Pantau MADANI menyenaraikan penyertaan seramai 11,349 murid dalam Program 3M dengan sasaran 60 peratus kembali ke kelas arus perdana, manakala Program Pecutan SPM pula membabitkan 26,181 murid dengan sasaran kelulusan sebanyak 80 peratus.
Pelaksanaan pada tahun ini turut merangkumi Program Cicir Pendidikan di Tasik Banding, Gerik, Perak bagi membawa semula murid ke dalam sistem Kementerian Pendidikan, di samping pengenalan Program Kecerdasan Buatan (AI) untuk Guru.
Dalam pada itu, Dr. Anuar menegaskan bahawa usaha mempertingkat mutu pendidikan negara perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan murid bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan tempatan, malah bersedia bersaing di pentas antarabangsa termasuk dalam bidang robotik dan teknologi.
Sumber: BERNAMA






