Sekurang-kurangnya 19 rakyat Palestin terbunuh manakala 48 lagi cedera di seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh 48 jam yang lalu susulan serangan berterusan oleh tentera Israel.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza pada Khamis, seramai 18 rakyat Palestin terkorban dalam serangan terbaharu Israel, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya sebelum ini, dengan 48 penduduk lain turut mengalami kecederaan dalam tempoh sama.
Tiga serangan berasingan oleh tentera Israel dilaporkan telah meragut nyawa sembilan rakyat Palestin di Bandar Gaza.
Selain itu, serangan udara Israel turut mengorbankan Timbalan Menteri Pendidikan Gaza bersama isterinya.
Sumber di Hospital Syahid Al-Aqsa memaklumkan kepada Agensi Anadolu bahawa seorang lelaki Palestin dan isterinya terbunuh, manakala beberapa individu lain cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah unit apartmen di bangunan kediaman di pusat bandar Deir al-Balah.
Saksi di lokasi kejadian mengenal pasti mangsa yang terkorban dalam serangan tersebut sebagai Khaled Mahmoud Abu Nada, 56, dan isterinya, Abeer Mohammed Abu Nada, 49. Penduduk tempatan turut mengesahkan bahawa Abu Nada merupakan Timbalan Menteri Pendidikan di Gaza.
Serangan ke Atas Kem Pelarian
Di bahagian utara Gaza, sumber perubatan di Hospital al-Shifa memaklumkan bahawa jenazah tiga rakyat Palestin serta seorang mangsa yang cedera parah telah dibawa ke kemudahan kesihatan berkenaan susulan serangan tentera Israel ke atas kem pelarian al-Shati.
Menurut penduduk tempatan, sebuah dron milik tentera Israel telah menyasarkan sekumpulan orang awam yang berada di kem pelarian terbabit, sekali gus membunuh tiga orang dan mencederakan seorang lagi.
Secara berasingan, pasukan tentera Israel bertindak meletupkan beberapa buah kediaman rakyat Palestin serta struktur binaan lain di bahagian timur kem pelarian al-Maghazi di tengah Gaza, di tengah-tengah bedilan senjata berat yang berterusan.
Saksi kejadian memberitahu Agensi Anadolu bahawa dua bunyi letupan yang amat kuat kedengaran di sebahagian besar kawasan Gaza ketika kerja-kerja perobohan berkenaan dijalankan.
Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan bahawa jumlah kematian akibat serangan Israel sejak perjanjian gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 11 Oktober 2025 telah meningkat kepada 1,705 orang, manakala seramai 6,163 yang lain mengalami kecederaan.
Kementerian itu turut menambah bahawa mayat seramai 851 rakyat Palestin berjaya ditemukan dalam tempoh yang sama.
Secara keseluruhannya, menurut perangkaan kementerian berkenaan, jumlah kematian kumulatif rakyat Palestin akibat perang genosid Israel di Gaza yang bermula sejak Oktober 2023 kini telah mencecah seramai 74,772 orang, sementara 176,298 yang lain cedera.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)







