
Agenda keselamatan siber negara akan terus diperkukuh melalui kerjasama strategik semua pihak berkepentingan bagi menjamin keselamatan, kestabilan serta kedaulatan negara di tengah iklim geopolitik yang semakin tidak menentu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikannya hari ini untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks dan pelbagai bentuk.
“Mesyuarat meneliti kemajuan penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) sebagai entiti berpusat yang menyatukan fungsi Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) sebagaimana diluluskan Jemaah Menteri,” kata Anwar melalui hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menambah melalui penstrukturan itu, PTPKM akan mempunyai penempatan institusi tetap, manakala fungsi serta sumber CSM dipusatkan di bawah CSCDC yang ditempatkan di Jabatan Perdana Menteri, di bawah kawal selia Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara sebagai sayap teknikal serta operasi.
Anwar berkata mesyuarat itu juga bersetuju dengan cadangan dasar baharu Rang Undang-Undang Jenayah Siber, termasuk peruntukan khusus menangani penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, penyebaran imej intim serta aspek pengekalan data komputer bagi tujuan siasatan jenayah.
Langkah-langkah ini menurut beliau penting untuk memastikan negara kekal berdaya tahan terhadap ancaman siber yang boleh mengganggu kestabilan ekonomi, keselamatan awam dan kedaulatan digital negara.
Sumber: Bernama







