Semasa

Agong dan Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Bonnie

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayauddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat palimpik negara Bonnie Bunyau gustin yang menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun  hari ini.

 

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan anak kelahiran Sarawak itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

 

“Kejayaan Bonnie merupakan kejayaan yang amat bermakna kepada kontinjen Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada rakan-rakan atlet untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan terbesar sukan paralimpik.

 

Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian cemerlang Bonnie sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

 

Menurut hantaran itu, kejayaan itu turut membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

 

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di Malaysia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.

Kenyataan itu juga memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan-kejohanan mendatang.

 

Bonnie, 22, telah merangkul pingat emas dengan angkatan seberat 228kg menewaskan atlet dari Mesir, Mahmoud Attia (191kg) dan atlet dari Great Britain, Micky Yule (183).

 

Lebih mengagumkan, atlet kelahiran Sarawak itu turut memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227kg, dengan angkatan 228kg.

 

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button