Semasa

Air Selangor jamin bekalan air pulih berperingkat mulai 12 malam ini

Pemulihan sepenuhnya kepada tiga kumpulan utama

KUALA LUMPUR: Pengguna yang terjejas akibat penutupan dua loji rawatan air (LRA) di Selangor sejak kelmarin, dijadual mendapat bekalan air mulai 12 tengah malam ini.

Katanya, air bersih itu akan melalui ujian kualiti dan pematuhan berdasarkan standard Kementerian Kesihatan, sebelum diagihkan kepada pengguna dengan pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama.

“Kumpulan pertama merangkumi 145 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya pada jam 6 petang esok, disusuli kumpulan kedua membabitkan 91 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya, pada jam 6 petang Khamis ini.

“Kumpulan ketiga merangkumi 38 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya pada jam 6 petang, Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, LRA Sungai Semenyih dilapor sudah mula mengoperasikan pam air mentah bagi kerja pembersihan paip air mentah dan tangki rawatan air, selepas pensampelan di muka sauk LRA itu mencatat bacaan sifar TON (kadar ukuran bau), tiga kali berturut-turut.

Kelmarin, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat, yang menjejaskan 309,605 akaun, sejak jam 4.30 petang.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada aktiviti pencucian secara besar-besaran di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam, serta Kawasan Perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan.

Suhaimi berkata, sebanyak 98 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal, sekolah dan kawasan perumahan terjejas, manakala 26 tangki statik, 11 stesen pengisian setempat, sembilan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 13 pili awam disediakan bagi kemudahan pengguna terjejas.

“Pengguna disarankan merujuk saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com untuk mendapatkan jadual pemulihan bekalan air.

“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button