PalestinSemasa

Majlis moreh merapatkan ukhuwah MyAqsa Defenders

BANGI : Sebuah majlis moreh bersama Tuan Nadir Al-Nuri dan MyAqsa Defenders (MyAD) telah dianjurkan di Ummah Hall oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), semalam.

Majlis bermula dari jam 10 malam hingga 11:30 malam dihadiri oleh Pengerusi MyAqsa Defenders, Tuan Nadir Al-Nuri, Pengarah Domestik MAPIM Malaysia, Tuan Haji Faris Hussain dan Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, PPj Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol.

MyAD adalah koalasi 20 NGO Malaysia yang bersatu dalam memperjuangkan pembebasan BaitulMaqdis.

Menurut Tuan Nadir, pelaksanaan gabungan ini adalah bagi menjadikan projek-projek yang dilaksanakan secara bersama sama ada di peringkat pembangunan atau pemulihan lebih tertumpu dan fokus.

“Gabungan-gabungan ini sudah wujud sebelum ini tetapi tidak kekal lama, InsyaAllah kita cuba jadikan MyAqsa Defenders sebagai nyawa yang kita pertahankan dengan pelaksanaan projek-projek jangka masa panjang dan berimpak tinggi.

“Banyak NGO-NGO yang mempunyai keinginan besar untuk turut serta dalam gabungan ini dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin,” kata beliau ketika ditemu bual oleh UMMAH Today.

Tambahan pula, menjelang Mei depan, MyAD akan memasuki satu tahun penubuhan mereka, dan terus komited dalam meneruskan program kesedaran dan advokasi berkenaan isu Masjid Al-Aqsa melalui kerjasama rakan-rakan NGO gabungan.

MyAD juga amat berbesar hati kerana dapat berkumpul bersama-sama dengan rakan-rakan gabungan dan semestinya MAPIM Malaysia yang merupakan NGO strategik bukan sahaja di peringkat MyAD, tetapi bagi Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

Sementara itu, Tuan Nadir, menyatakan rasa bertuah dan teruja dapat berkumpul di Ummah Hall yang merupakan simbolik perjuangan umat Islam bagi menyatukan ummah dalam bergerak bersama-sama di dalam perjuangan bumi Palestin.

“Sebenarnya majlis perjumpaan kita pada malam ini ialah penutup kepada hampir dua bulan setengah saya berada di bumi Malaysia, esok kami akan kembali ke bumi Palestin dan Alhamdulillah ini adalah program penutupnya,” ujar Tuan Nadir.

Menurut Tuan Haji Faris, perjuangan Aqsa ini merupakan perjuangan untuk semua orang Islam dan bukanlah perjuangan individu atau perjuangan organisasi.

“Alhamdulillah di 10 Ramadan yang terakhir ini, selain daripada ibadah tarawih dan sebagainya majlis-majlis yang menghimpun saudara-saudara seagama ini, kita berasa sangat gembira dan sangat selesa untuk kita hadir dan menyatakan sokongan.

“MAPIM Malaysia akan sentiasa berdiri teguh dan menyatakan sokongan kepada program sebegini pada masa akan datang,” kata Tuan Haji Faris.

Sejajar dengan matlamat MAPIM Malaysia yang menyantuni ummah, MAPIM yang juga merupakan antara koalasi dalam MyAD turut mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman dan keganasan entiti haram Israel terhadap rakyat Palestin terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button