
Majlis Bandaraya Amsterdam meluluskan usul untuk menghalang kelab sukan asing tertentu, termasuk Maccabi Tel Aviv dari Israel, daripada diterima di bandar itu jika didapati menyumbang kepada “penjajahan atau perkauman.”
Usul yang dikemukakan oleh Sheher Khan, ketua Parti Denk, itu menyasarkan kelab yang berpangkalan di penempatan haram, terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mengekalkan pendudukan yang menyalahi undang-undang, atau gagal menangani budaya ekstremis serta perkauman dalam kalangan penyokong tegar mereka.
Keputusan itu mendapat sokongan majoriti besar ahli majlis, manakala parti-parti konservatif kanan termasuk Demokrat Kristian, Parti Liberal, JA21, dan Forum Demokrasi mengundi menentang. Majlis turut memutuskan untuk menghantar surat rasmi kepada persatuan sukan kebangsaan Belanda, termasuk Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB) dan Jawatankuasa Olimpik Belanda, bagi mendesak agar kelab yang terlibat dikecualikan daripada menyertai acara sukan di negara itu.
Tindakan ini diambil selepas insiden tegang pada November lalu ketika perlawanan Liga Europa antara Ajax dan Maccabi Tel Aviv, di mana penyokong kelab Israel itu dilaporkan merobohkan bendera Palestin dan melaungkan kata-kata berunsur perkauman, termasuk “f*** orang Arab” serta “biarkan tentera Israel menang.”
Khan berkata, langkah itu penting untuk menghapuskan standard berganda kerana kelab dari Rusia sudah dilarang bermain di Belanda susulan perang Ukraine, manakala kelab Israel masih dibenarkan beraksi. “Bandar kita menanggung akibatnya, maka usul ini membetulkan ketidakkonsistenan itu,” katanya.
Menurut Khan, walaupun usul dirangka secara umum, ia sememangnya memberi fokus kepada kelab Israel. Beliau menyifatkan Maccabi Tel Aviv sebagai pro-Netanyahu dengan penyokong tegar yang menyokong “pembunuhan beramai-ramai” di Gaza.
Datuk Bandar Amsterdam, Femke Halsema sebelum ini menyatakan penyokong Maccabi tidak lagi dialu-alukan di bandar itu. Dengan usul terbaru, larangan kini diperluaskan kepada kelab berkenaan.
Maccabi Tel Aviv, yang kini bersaing dalam Liga Europa, sedang disemak oleh UEFA untuk kemungkinan digantung ekoran kaitannya dengan perang Israel di Gaza. Dalam masa sama, desakan turut meningkat agar Israel disingkirkan daripada pelbagai acara sukan antarabangsa, dengan penunjuk perasaan di Rotterdam baru-baru ini membantah kehadiran pasukan Israel dalam Kejohanan Besbol Eropah.
Sumber: TRT World & Agensi