PalestinSemasa

Anwar Pertahan Jemputan Trump, Malaysia Terus Suarakan Isu Palestin Menerusi ASEAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan merupakan langkah diplomatik berstrategi, sambil menekankan Malaysia akan terus menggunakan platform tersebut untuk menyuarakan isu Palestin.

Beliau berkata Malaysia perlu bijak berunding serta mengekalkan suara tegas dalam mempertahankan kebenaran di pentas antarabangsa, tanpa mengabaikan kepentingan ekonomi negara.

“Malaysia lantang mempertahankan Palestin dan Gaza, tetapi pada masa sama kita gunakan saluran diplomatik. Kita bebas bersuara kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Kita juga mesti pandai berkawan,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa hubungan dengan Amerika Syarikat penting kerana nilai eksport semikonduktor Malaysia ke negara itu mencecah berbilion ringgit, melibatkan puluhan ribu pekerjaan rakyat tempatan.

Katanya, walaupun Malaysia bukan negara besar, dasar luar yang jelas serta corak diplomasi terbuka menjadikan negara ini dihormati, termasuk berperanan sebagai orang tengah dalam konflik serantau seperti di sempadan Thailand-Kemboja dan proses peralihan kemerdekaan Timor-Leste.

“Beberapa bulan lepas Presiden Xi Jinping datang, bulan depan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula datang. Tidak banyak negara kecil dapat layanan begitu. Ini bukti dunia hormat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung Oktober ini di Kuala Lumpur dengan penyertaan pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota ASEAN.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button