PalestinSemasa

AS Kenakan Sekatan Baharu Terhadap Empat Hakim, Pendakwa Raya ICC

Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas dua hakim dan dua pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung tindakan tribunal itu yang mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin Israel berkaitan jenayah perang di Gaza.

Menurut kenyataan Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Negara AS, individu yang disekat ialah Hakim Nicolas Yann Guillou (Perancis), Hakim Nazhat Shameem Khan (Fiji), Timbalan Pendakwa Raya Mame Mandiaye Niang (Senegal), dan Timbalan Pendakwa Raya Kimberly Prost (Kanada).

Guillou dilaporkan mengetuai panel praperbicaraan ICC yang pada November lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Langkah sekatan ini hadir hanya beberapa bulan selepas Washington turut mengenakan tindakan sama terhadap empat hakim ICC lain, dengan alasan tribunal berkenaan telah melakukan “tindakan tidak sah dan tidak berasas” terhadap AS dan sekutu rapatnya, Israel.

ICC sebelum ini mengecam keras tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai cubaan untuk menjejaskan kebebasan badan kehakiman antarabangsa itu.

Ditubuhkan pada 2002, ICC mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa kes pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang di negara anggota, atau jika sesuatu kes dirujuk oleh Majlis Keselamatan PBB. AS, China, Rusia dan Israel bagaimanapun bukan merupakan anggota ICC.

Ketika ini, ICC sedang menjalankan beberapa siasatan jenayah perang berprofil tinggi termasuk berkaitan perang Israel di Gaza, konflik Rusia-Ukraine, serta kes di Sudan, Myanmar, Venezuela, Filipina dan Afghanistan.

Sekatan baharu itu menyebabkan aset atau kepentingan individu terbabit di AS dibekukan dan mereka disekat daripada menggunakan sistem kewangan negara itu.

Sumber: Reuters / TRT World

Related Articles

Back to top button