PalestinSemasa

280,000 jemaah Palestin penuhi Masjid Al-Aqsa

BAITULMAQDIS: Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin mencatat kedatangan 280,000 jemaah pada malam 27 Ramadan (17 April) yang sinonim dengan malam Lailatul Qadar bagi umat Islam.

Agensi Berita Jordan (Petra) yang memetik kenyataan Jabatan Waqaf Islamiah Palestin melaporkan sejumlah 280,000 jemaah membanjiri Masjid Al-Aqsa dan perkarangannya pada malam hari Isnin, untuk menunaikan solat Isya dan tarawih, di tengah-tengah langkah ketat yang dikenakan pihak berkuasa penjajah Israel ke atas kota suci itu.

Menurut kenyataan itu, umat Islam datang daripada pelbagai pelusuk Palestin termasuk Tebing Barat, kota Baitulmaqdis dan wilayah-wilayah lain yang diduduki sejak tahun 1948, walaupun terdapat sekatan dan halangan tentera penjajah.

Ketegangan semakin memuncak di seluruh wilayah Palestin sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas tentera israel menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa dan memaksa jemaah keluar selama dua malam berturut-turut pada Selasa dan Rabu awal bulan ini.

Menurut laporan media, tentera israel menyerbu Dewan Solat Al-Qibli di kompleks Masjid Al-Aqsa selepas solat tarawih, melepaskan bom pegun, memukul jemaah Palestin dan menahan kira-kira 350 jemaah.

Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin, polis israel mula membebaskan tahanan dengan syarat mereka dipindahkan dari Masjid Al-Aqsa dan Kota Lama Baitulmaqdis selama seminggu.

Bagi umat Islam, Al-Aqsa merupakan tanah suci ketiga dalam Islam.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, kawasan terletaknya Al-Aqsa, semasa Perang Arab-israel 1967. Ia menggabungkan seluruh bandar pada 1980 dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button