
Datuk Bandar Greater Manchester, Andy Burnham, yang kini menjadi calon utama untuk menyandang jawatan Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baharu, mula berdepan penelitian tajam berhubung rekod silamnya yang dilihat condong ke arah menyokong Israel serta mengabaikan isu Palestin.
Isyarat Burnham, 56, bakal mengambil alih kepimpinan Parti Buruh susulan peletakan jawatan Keir Starmer telah mencetuskan perdebatan hangat, khususnya dalam kalangan puak sayap kiri parti yang lantang membela nasib rakyat Palestin.
Sejarah Pendirian Menolak Boikot Israel
Rekod Burnham mengenai konflik Palestin-Israel disifatkan oleh ramai penganalisis sebagai sesuatu yang “sukar untuk dipertahankan.”
Siasatan ke atas latar belakang politiknya mendedahkan beberapa tindakan kontroversi:
-
Sertai Kumpulan Pro-Israel: Semasa bertanding jawatan kepimpinan Parti Buruh pada tahun 2015, beliau telah menyertai kumpulan Labour Friends of Israel (Rakan Buruh Israel).
-
Menentang Gerakan BDS: Beliau secara terbuka melabelkan gerakan Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) terhadap Israel sebagai gerakan yang “berniat jahat”.
-
Iktiraf Israel Sebagai Demokrasi: Burnham pernah berikrar menjadikan Israel sebagai destinasi lawatan rasmi pertamanya jika dipilih menjadi pemimpin, selain mengiktiraf negara haram itu sebagai sebuah “demokrasi” biarpun rejim Tel Aviv melakukan penindasan, pembunuhan, dan pencabulan undang-undang antarabangsa di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Bisu Isu Pembunuhan Beramai-ramai di Gaza
Kemarahan penyokong Palestin semakin memuncak apabila Burnham dituduh cuba mengelak daripada menggunakan istilah ‘pembunuhan beramai-ramai’ (genocide) ketika serangan ganas Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 72,000 rakyat Palestin di Gaza.
Apabila ditekan secara langsung oleh akhbar The Guardian, Burnham sekadar memberi alasan bahawa beliau tidak boleh “menilai perkara sebesar itu” atas kapasitinya sebagai seorang datuk bandar wilayah. Pengelakan ini disifatkan sebagai pelik memandangkan beliau sebelum ini terkenal sebagai ahli politik yang gemar mengulas isu-isu global di luar bidang kuasa tempatannya.
Lebih mencetuskan kontroversi, Burnham dilaporkan telah melantik James Purnell — bekas pengerusi Labour Friends of Israel — sebagai ketua kakitangan utamanya, sekali gus membuktikan pengaruh kuat lobi Israel dalam lingkaran dalaman beliau.
Laluan ke Downing Street
Kembalinya Burnham ke kancah politik parlimen telah dirancang dengan teliti selepas beliau memenangi pilihan raya kecil di parlimen Makerfield pada 19 Jun lalu dengan 54.8 peratus undi, syarat wajib sebelum seseorang boleh dinamakan sebagai Perdana Menteri.
Penganalisis politik, Klaus Jurgens, menyatakan bahawa Burnham mempunyai kriteria yang cukup untuk memimpin, namun cabaran terbesarnya adalah untuk memenangi hati puak kiri tegar Parti Buruh yang sangat sensitif terhadap isu kemanusiaan di Gaza.
Selain Burnham, beberapa nama lain seperti Ed Miliband, Wes Streeting, Shabana Mahmood, dan Angela Rayner turut disebut-sebut sebagai calon alternatif sekiranya pencalonan Burnham mendapat tentangan hebat ekoran isu luar negara ini. — TRT World







