Seorang kanak-kanak lelaki Palestin berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia pada awal pagi Sabtu akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam serangan tentera Israel beberapa hari lalu di selatan Semenanjung Gaza.
Sumber perubatan daripada Hospital Nasser mengesahkan mangsa, Walid Youssef Abu Jazar, menghembuskan nafas terakhir susulan luka parah selepas rejim Zionis membedil kawasan al-Mawasi di barat Khan Younis.
Kematian tragis ini berlaku di tengah-tengah siri pencabulan harian oleh Tel Aviv terhadap perjanjian gencatan senjata yang sepatutnya berkuat kuasa sejak Oktober lalu.
Israel Luaskan Kawasan Pendudukan Guna Kereta Kebal, Jentolak
Saksi mata dan sumber tempatan melaporkan berlakunya pencerobohan terhad oleh kenderaan tentera Israel di timur Al-Maghazi dan Deir al-Balah. Dua buah kereta kebal serta sebuah jentolak tentera dilaporkan mara kira-kira 200 meter ke dalam kawasan berkenaan di bawah lindungan tembakan berat.
Tentera Israel bertindak mengalihkan blok-blok konkrit kuning ke arah barat, yang merupakan sebahagian daripada pelan perluasan baharu wilayah pendudukan. Blok tersebut sebelum ini menandakan “garisan kuning” atau jalur keselamatan yang ditetapkan di bawah perjanjian gencatan senjata bagi menghalang rakyat Palestin daripada menghampiri kawasan sempadan.
Tindakan agresif ini dikutuk keras oleh jurucakap Hamas, Hazem Qassem, yang menyifatkan perluasan “garisan kuning” dan pemusnahan rumah penduduk sebagai pelanggaran melampau. Beliau turut menggesa pihak pengantara antarabangsa untuk mengambil pendirian tegas dan menekan rejim Israel agar menghentikan siri pencerobohan tersebut.
Netanyahu Angkuh Mengaku Kuasai 70 Peratus Wilayah Gaza
Pada Rabu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, secara terbuka mengakui bahawa tenteranya kini telah menguasai kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan wilayah Gaza, sekali gus mengesahkan peluasan operasi darat rejim biarpun dalam tempoh gencatan senjata.
Berdasarkan statistik yang dikongsikan oleh Netanyahu, penguasaan kawasan oleh rejim Israel meningkat secara mendadak daripada 53 peratus pada permulaan gencatan senjata, kepada 60 peratus menjelang 15 Mei, dan kini mencecah 70 peratus (bersamaan sekitar 255 kilometer persegi daripada 365 kilometer persegi jumlah keluasan Gaza).
Angka Korban Gencatan Senjata Meningkat Mencecah 1,031 Orang
Menurut data terbaharu daripada Kementerian Kesihatan Gaza sehingga Khamis lalu, siri pencabulan gencatan senjata oleh Israel sahaja telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,031 rakyat Palestin dan mencederakan 3,309 yang lain.
Secara keseluruhannya, sejak kempen pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis bermula pada Oktober 2023, lebih 73,000 warga Palestin telah terkorban manakala lebih 173,000 lagi mengalami kecederaan. Serangan tanpa henti itu turut mengakibatkan kemusnahan skala besar yang melumpuhkan hampir 90 peratus daripada keseluruhan infrastruktur awam di Gaza. — Agensi Anadolu (AA) / TRT World







