
Seorang bekas pemandu bas ekspres bersama kekasihnya ditahan pihak polis hari ini selepas tular rakaman video memaparkan tindakan berbahaya lelaki itu meriba pasangannya ketika sedang memandu bas, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, lelaki berusia 36 tahun dan wanita berumur 21 tahun itu ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kira-kira jam 4.30 petang tadi.
Alasan ‘Teruja Mahu Belajar Memandu’
Hasil siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu telah mengenali pasangannya yang berasal dari Kedah sejak lima bulan lalu.
Dalam sesi keterangan selama dua jam tersebut, lelaki berkenaan memberi alasan bahawa dia melakukan aksi berisiko itu kerana kekasihnya berasa teruja dan ingin merasai pengalaman belajar memandu bas.
“Lelaki terbabit mempunyai pengalaman memandu bas selama 10 tahun, manakala wanita itu pula merupakan petugas kaunter tiket di sebuah syarikat bas yang lain,” kata Lee Robert dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kronologi Kejadian
Kejadian dipercayai berlaku pada 12 April lalu, kira-kira jam 7.30 malam di kawasan susur masuk Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Pihak polis mengesan rakaman video kejadian itu yang tular di media sosial pada petang 13 April sebelum bertindak menjalankan siasatan lanjut.
Tindakan Undang-Undang
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga boleh mengganggu keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
SUMBER: BERNAMA







