Tayeb Ait Ighenbaz terpaksa memilih sama ada menyelamatkan anak lelakinya yang berusia 11 tahun atau ibu bapanya apabila mereka terperangkap di bawah runtuhan selepas gempa bumi melanda.
Pengembala kambing di Pergunungan Atlas itu berkata dia dihantui oleh keputusan yang dibuatnya.
Pada malam Jumaat itu, Tayeb bersama isteri, dua anak dan ibu bapanya berada di rumah batu kecil mereka apabila ia digegarkan dengan gempa bumi terbesar di negara itu dalam tempoh 60 tahun.
Tayeb membawa wartawan ke rumahnya yang sudah musnah sambil dia menunjuk ke arah runtuhan dan berkata, “Di situlah mereka berada.”
“Semuanya berlaku dengan pantas. Apabila gempa bumi berlaku, kami semua berlari ke pintu. Ayah saya sedang tidur dan saya menjerit kepada ibu saya supaya cepat, tetapi dia tertinggal di belakang kerana menunggu ayah saya,” katanya.
Selepas keluar, dia hanya melihat isteri dan anak perempuannya di sebelahnya.
Ketika dia kembali ke dalam bangunan yang tumbang, Tayeb mendapati anak lelakinya dan orang tuanya terperangkap di bawah runtuhan. Dia dapat melihat tangan anaknya menolak-nolak batu runtuhan.
Dia tahu dia harus bertindak cepat, dan menuju ke arah anaknya Adam, lalu berhempas pulas menggali runtuhan untuk menariknya keluar.
Apabila dia berpaling kepada ibu bapanya yang terperangkap di bawah kepingan batu besar, dia berkata dalam hati, dia sudah terlambat.
“Saya terpaksa memilih antara orang tua ataupun anak saya,” katanya dengan linangan air mata.
“Saya tidak dapat membantu ibu bapa saya kerana dinding runtuh menimpa separuh badan mereka. Ia sangat menyedihkan. Saya melihat ibu bapa saya mati.”
Tayeb menunjukkan kesan pada seluar jeans berwarna terangnya, berkata itu adalah darah ibu bapanya.
Semua pakaiannya ada di rumahnya, dan dia tidak dapat menukar pakaian sejak gempa bumi.
Keluarga itu kini tinggal bersama saudara mara di khemah sementara berhampiran dengan bekas rumah mereka. Tayeb berkata semua wangnya ada di dalam rumah dan kebanyakan kambingnya telah mati.
“Ia seperti dilahirkan semula dalam kehidupan baru. Tiada ibu bapa, tiada rumah, tiada makanan, tiada pakaian,” katanya. “Saya berumur 50 tahun sekarang dan saya perlu bermula semula.”
Dia tidak pasti bagaimana untuk bergerak ke hadapan, tetapi dia masih ingat nasihat ibu bapanya. “Mereka selalu berkata ‘bersabar, bekerja keras, jangan berputus asa’.”
Semasa ditemuramah, anaknya Adam berlari, memakai jersi bola sepak Juventus dengan nama Ronaldo di belakang lalu memeluk ayahnya.
“Ayah menyelamatkan saya daripada kematian,” katanya sambil tersenyum.
Hanya beberapa minit di jalan menuju ke pekan Amizmiz, seorang lagi bapa dan anak berdiri sambil berpelukan.
Abdulmajid Ait Jaefer berkata dia berada di rumah bersama isteri dan tiga anaknya ketika gempa bumi melanda dan lantai mula runtuh.
Anak lelakinya, Mohamed yang berusia 12 tahun, keluar dari bangunan itu, tetapi ahli keluarga yang lain terperangkap.
Abdulmajid berkata, kakinya tersepit di bawah runtuhan, tetapi dia ditarik keluar oleh jiran. Dia kemudian menghabiskan dua jam cuba menyelamatkan isterinya dan salah seorang anak perempuannya. Kedua-duanya sudah meninggal apabila dia berjaya menarik mereka dari runtuhan.
Keesokan harinya, mayat anak perempuannya yang lain turut dikeluarkan dari runtuhan.
Abdulmajid, 47, kini tidur di bawah kain terpal di seberang jalan rumahnya.
Dia boleh melihat dapur, dengan peti ais masih berdiri dan pakaian tergantung untuk dijemur.
Dia berkata dia tidak boleh meninggalkan kawasan itu kerana dia perlu menjaga harta bendanya, dan kenangan hidupnya di sana.
“Itu dapur dan peti sejuk saya. Kami semua berada di sana. Sekarang saya hanya melihatnya,” katanya.
Sebelum Jumaat, Abdulmajid berkata, “Dia tidak pernah bermimpi tentang gempa bumi. Malah sekarang, saya masih tidak percaya.”
Oleh Alice Cuddy, di Pergunungan Atlas / Berita BBC
Misi Bantuan Gempa Marakesh MAPIM
MAPIM MALAYSIA Melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan Gempa Marakesh dengan mensasarkan bantuan pelbagai di kawasan terjejas di Morocco.
Setakat laporan, angka kematian dan kecederaan masih meningkat serta merisaukan! Justeru Infaq serta bantuan sahabat peduli Ummah sangat dirayu serta diharapkan.
MASA UNTUK INFAQ & BANTU
Hulurkan sumbangan dan infaq tanda kita bersama membantu ringankan ujian mereka. Sumbangan akan diuruskan sendiri oleh pihak aktivitis MAPIM.
Infaq menerusi Tabung Kemanusiaan MAPIM
(Maybank 562263540066)
Atau klik link berikut —>>> https://www.mapim.org/rayuanmarakesh