
Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap kawasan Parlimen di Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu bertujuan memastikan BN mempunyai wakil di semua 25 kawasan Parlimen di negeri itu yang merangkumi 73 kerusi DUN.
Menurut beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, hasrat tersebut masih di peringkat cadangan dan akan dibincangkan secara mendalam bersama parti komponen BN lain iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Kita tidak mahu kejadian semasa pilihan raya sebelum ini berulang, apabila terdapat kawasan Parlimen yang langsung tidak diwakili BN, menyebabkan para penyokong parti tidak mempunyai saluran untuk menyuarakan pendapat atau sokongan,” katanya.
Tambahnya lagi, situasi sedemikian boleh menyebabkan kekecewaan dalam kalangan penyokong sehingga mendorong mereka meninggalkan parti.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kimanis di Dewan Terbuka Membakut hari ini.
Tempoh penggal lima tahun DUN Sabah dijangka terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tiada pembubaran lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Sementara itu, Mohamad turut menegaskan bahawa BN, khususnya UMNO, tidak pernah bergabung dengan mana-mana parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, kata beliau, penubuhan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) adalah hasil perjanjian rasmi antara gabungan parti demi memastikan kestabilan negara.
“UMNO dan BN menyertai Kerajaan Perpaduan kerana selepas PRU15, tiada mana-mana parti mampu membentuk kerajaan sendiri. Sebagai parti yang lama mentadbir negara, BN mengutamakan kestabilan negara,” ujarnya.
Katanya lagi, dakwaan dan fitnah kononnya UMNO bergabung dengan DAP hanyalah cubaan untuk menimbulkan kekeliruan dan menggugat sokongan terhadap parti.
— BERNAMA