Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ledakan drama pendek menjadikan China muncul sebagai kuasa baharu industri kandungan kreatif dunia, hingga digelar sebagai “Chinawood” selepas Hollywood dan Bollywood.
Dalam satu lawatan media anjuran CCTV+, penulis bersama lebih 30 pengamal media dan pencipta kandungan dari pelbagai negara berpeluang menyaksikan sendiri kehebatan ekosistem kreatif di bandar Quzhou, wilayah Zhejiang, yang kini menjadi pusat nadi hiburan digital negara itu.
Di Meigao Short-Drama Super Factory, produksi drama mikro berkembang pesat dengan ribuan episod terhasil setiap tahun. Kompleks moden ini menempatkan lebih 200 set penggambaran pelbagai tema daripada bilik tidur hingga ke mahkamah membolehkan puluhan babak dirakam dalam sehari tanpa perlu berpindah lokasi.
Menurut Pengurus Besar Meigao, Dai Wenxue, drama pendek dengan durasi sekitar 90 saat termasuk iklan semakin menjadi fenomena kerana sesuai ditonton di platform mudah alih seperti Douyin (TikTok), YouTube dan DramaBox.
Statistik rasmi menunjukkan pada suku pertama 2025, jumlah penonton drama pendek di China mencecah 662 juta orang, dengan purata tontonan 101 minit sehari. Pada 2024 sahaja, pendapatan segmen ini mencecah 50.5 bilion yuan (RM32.4 bilion) dan dijangka berganda menjelang 2027.
Tidak jauh dari situ, Versatile AI Virtual Film Base memperlihatkan bagaimana teknologi AI mengubah landskap penggambaran. Studio ini dilengkapi skrin LED melengkung terbesar di dunia bersaiz 5,000 meter persegi dengan paparan 8K HDR, membolehkan produksi CGI disiapkan lebih cepat dan kos lebih rendah.
“AI di sini bukan sekadar alat. Ia membantu menghasilkan skrip, menganalisis data penonton, memilih sudut kamera hingga menentukan gaya visual terbaik,” kata Pengurus Besar studio berkenaan, Shen Chenqi.
Dengan hanya satu sentuhan skrin kawalan, suasana boleh berubah daripada matahari terbit ke hujan senja, sekali gus membolehkan penggambaran dilakukan tanpa menunggu cuaca sebenar.
Gabungan set fizikal Meigao dan teknologi maya Versatile AI menjadikan China bukan sahaja peneraju kandungan kreatif domestik tetapi juga pemain global. Bagi Beijing, industri kreatif ini dilihat sebagai alat diplomasi budaya, pemacu ekonomi dan strategi pengaruh antarabangsa.
Bagi Malaysia, pencapaian China memberi inspirasi bagaimana kandungan tempatan seperti makyung atau legenda Puteri Gunung Ledang boleh diangkat ke pentas dunia. Dengan keberanian menggabungkan teknologi dan seni, serta memperkenalkan format yang sesuai untuk generasi digital, industri kreatif negara juga berpotensi menembusi pasaran global.
China kini sudah melangkah sebagai kuasa kreatif dunia. Persoalannya, bilakah Malaysia akan menyertai barisan pemain utama – bukan sekadar menjadi penonton?
Sumber: Bernama