Cikgu Azmi, Presiden MAPIM terima anugerah tertinggi untuk orang awam daripada Presiden Pakistan
Islamabad : Presiden MAPIM, Mohd Azmi Bin Abdul Hamid ataupun dikenali sebagai Cikgu Azmi telah dianugerahkan Pingat Sitara-i-Pakistan, salah satu anugerah tertinggi untuk orang awam yang dianugerahkan oleh Presiden Pakistan.
Anugerah itu diberikan sempena Hari Kemerdekaan Pakistan pada 14 Ogos 2021, tetapi majlis penganugerahan yang berlangsung di Istana Presiden, Aiwan-e-Sadr, Islamabad, ditunda ke 23 Mac 2022 selepas sekatan sempadan akibat covid-19 mula dilonggarkan oleh kerajaan Malaysia dan Pakistan.
Anugerah itu diberi atas usaha Cikgu Azmi sebagai presiden MAPIM yang banyak membantu kerajaan Pakistan dalam memperjuangkan hak minoriti Muslim terutamanya di Kashmir, serta atas sokongan beliau untuk pembangunan dan kemajuan Pakistan baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
Yang terbaru adalah desakan Cikgu Azmi sebagai Presiden MAPIM kepada PBB pada 5 Februari lepas, sempena Hari Solidariti Kashmir Sedunia pada 5 Februari setiap tahun.
Beliau telah menggariskan empat tuntutan dalam memorandum yang dihantar kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, yang antaranya meminta PBB memberi tekanan kepada kerajaan India agar menghentikan kezaliman ke atas Wilayah Jammu dan Kashmir.
Memorandum itu mendesak Guterras agar bertindak tegas ke atas India yang menduduki Kashmir secara tidak sah sejak 1947.
Krisis Kashmir yang bermula sejak 26 Oktober 1947 telah mengakibatkan 200,000 warga Kashmir terbunuh. Sehingga hari ini, terdapat lebih 700,000 askar India di Kashmir. Mereka telah melanggar hak asasi manusia yang mengakibatkan berlakunya genosid dan pembersihan etnik di wilayah tersebut.
Menurut Cikgu Azmi,
“Ini satu penghormatan buat Malaysia. Pakistan mengiktiraf sumbangan masyarakat sivil Malaysia di wilayah yang menjadi pertikaian, Kashmir. Kebimbangan saya bukan sahaja tentang wilayah yang dipertikaikan tetapi juga mengenai kebebasan dan hak sivil rakyat Kashmir.
“Saya mahu masyarakat antarabangsa mendesak satu plebisit untuk rakyat (Kashmir) menentukan masa depan mereka sendiri.
“Ini hanyalah usaha kecil saya dalam menggerakkan semua lapisan masyarakat; cendekiawan, aktivis NGO, pelajar dan belia, ahli politik di peringkat kebangsaan dan serantau bagi menyelesaikan konflik (Kashmir).
“Saya juga berusaha menggerakkan semua masjid di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi mengambil isu Kashmir melalui mimbar.
“Aktiviti yang saya mulakan melalui MAPIM juga sentiasa meletakkan perjuangan Kashmir di hadapan.”
Penerima anugerah Sitara-i-Pakistan boleh meletakkan S.Pk pada hujung namanya. Cikgu Azmi dijangka pulang ke Malaysia pada hari ini.
[videopress yMfhe2HC]