Covid19DomestikSemasa

COVID-19: PICKids, 412 PPV ditambah

KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) menambah sebanyak 412 pusat pemberian vaksin (PPV) untuk pelaksanaan program itu secara ‘walk-in’ atau jumpa terus.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan di sini hari ini berkata, penambahan semua PPV itu diwujudkan dengan mengambil peluang sempena cuti sekolah bermula 26 Februari lalu.

“Semasa cuti sekolah ini, ibu bapa yang belum mempunyai janji temu vaksinasi untuk anak berusia lima hingga bawah 12 tahun digalakkan membawa anak ke PPV berdekatan secara ‘walk-in’ untuk menerima vaksinasi.

“Sekiranya kuota vaksinasi untuk kanak-kanak pada hari itu habis di PPV dihadiri, ibu bapa boleh memilih untuk datang semula ke PPV terbabit keesokan hari atau boleh mendaftarkan anak untuk dapatkan slot vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata, ibu bapa atau penjaga yang mendaftarkan anak untuk menerima vaksin pula akan menerima pautan tempahan janji temu dengan tarikh.

Selain itu, lokasi vaksinasi boleh dipilih mengikut kesesuaian waktu mereka.

Pelaksanaan PICKids secara jumpa terus bermula 1 Mac lalu di beberapa PPV di Lembah Klang iaitu PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), PPV Axiata, PPV IDCC dan PPV Soka Gakkai.

Sebanyak 929,733 individu atau 26.2 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat semalam, melalui PICKids yang dimulakan sejak 3 Februari lalu. – BERNAMA

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button