Semasa

Dakwaan Jepun ada ancaman pengganas tidak berasas – Hishammuddin

KUALA LUMPUR : Tindakan Kementerian Luar Jepun mengeluarkan amaran kepada warganya terhadap kemungkinan wujud ancaman pengganas di Asia Tenggara termasuk Malaysia adalah satu perkara tidak berasas.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau dimaklumkan amaran itu dikeluarkan dengan bersandarkan laporan sebuah platform media.

“Dakwaan berhubung isu pengganas itu tiada asas langsung dan kita menunggu dari Wisma Putra yang bertanyakan Jepun apakah sebabnya mereka mengeluarkan kenyataan berkenaan.

“Tetapi daripada segi ancaman sebenar, saya boleh mengesahkan dalam konteks risikan tentera dan pengesahan daripada Ketua Polis Negara sendiri, tiada timbul sesuatu (ancaman) yang perlu kita bimbangkan di Malaysia,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam, media melaporkan Kementerian Luar Jepun menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan kemudahan keagamaan dan kawasan sesak lain.

Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan pengebom berani mati di lokasi tumpuan orang ramai seperti rumah ibadat.

Kedutaan Besar Jepun di Kuala Lumpur juga mengesahkan mengeluarkan amaran kepada warganegaranya di Malaysia mengenai perkara itu, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam satu kenyataan, semalam memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman awam negara ketika ini adalah terkawal.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengesan atau menerima sebarang maklumat mengenai apa-apa bentuk ancaman keselamatan.

Justeru, orang ramai diminta tidak gusar dan tidak membuat sebarang spekulasi kerana PDRM akan memastikan negara kekal pada tahap selamat, selain meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button