
Tokoh kemanusiaan dan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby, diumumkan sebagai antara ribuan ahli baharu yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pengumuman tersebut dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam satu kenyataan hari ini, yang mendedahkan bahawa parti itu menerima seramai 14,225 anggota baharu bagi tempoh Oktober 2025 hingga Januari 2026. Selain Dato’ Sani Araby, turut menyertai parti ialah Pengurus Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Hidayat Abdullah.
Penyertaan Dato’ Sani Araby yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, dilihat sebagai satu pengukuhan signifikan kepada PKR dalam menarik sokongan daripada aktivis masyarakat dan pejuang isu-isu kemanusiaan sejagat.
Fahmi Zainol Digantung Jawatan
Namun, di sebalik berita pertambahan ahli tersebut, MPP PKR turut mengumumkan tindakan disiplin keras dengan menggantung semua jawatan parti yang disandang oleh Fahmi Zainol berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, memaklumkan bahawa tindakan terhadap Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang itu diambil susulan pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya. Fahmi, 35, baru-baru ini mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja mencederakan isterinya.
“Penggantungan ini akan berkuat kuasa sehingga kes mahkamah membabitkan beliau diputuskan. Pihak parti juga akan mengutuskan surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung kedudukan beliau dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO),” jelas Dr Fuziah.
Rafizi Ramli Kekal Anggota Parti
Dalam mesyuarat yang sama, MPP turut mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, kekal sebagai anggota parti selepas beliau menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan sebelum ini. Walau bagaimanapun, beliau diberikan peringatan supaya sentiasa mematuhi perlembagaan dan kod tataetika disiplin parti.
Pelantikan PU Haris dan Usul Tergempar Iran
PKR turut mengumumkan beberapa pelantikan baharu bagi memperkasakan struktur kepimpinan:
-
PU Haris (Muhd Haris Mohd Ismail): Dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama PKR.
-
Chiew Choon Man (Timbalan Menteri Pelancongan): Dilantik sebagai ahli ex officio MPP.
Selain isu dalaman parti, mesyuarat MPP turut dimaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan membawa satu usul tergempar ke Dewan Rakyat esok. Usul tersebut bertujuan mengecam serangan berterusan oleh rejim Israel dan sekutunya ke atas Iran, yang kini mengancam keselamatan rantau Timur Tengah.
Sumber: BERNAMA







