
Kuching City FC mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan selepas berjaya menamatkan kempen Liga Super musim 2025/2026 selaku naib juara.
Kejayaan bersejarah itu dilakar susulan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC pada aksi terakhir liga di Stadium Negeri, di sini malam ini.
Tiga mata berharga itu membolehkan skuad ‘The Cats’ mengumpul keseluruhan 53 mata hasil daripada 16 kemenangan dan lima keputusan seri sepanjang musim. Slot ke ACL2 musim 2026/2027 ini sekali gus menamatkan penantian selama 10 tahun untuk melihat pasukan itu kembali beraksi di pentas tertinggi Asia.
Bernama melaporkan Stadium Negeri bergema dengan sorakan ribuan penyokong tuan rumah yang meraikan pencapaian membanggakan itu sebaik wisel penamat dibunyikan.
Dalam aksi malam ini, Jerome Mpacko Etame muncul wira pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-28, setelah bijak memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol lawan.
Memasuki babak kedua, pasukan pelawat menggandakan asakan bagi memburu gol penyamaan, namun benteng pertahanan Kuching City FC kental mengekang setiap percubaan sehingga perlawanan tamat.
Selangor FC Berpesta Gol, Namun Terlepas Slot Asia
Sementara itu, di PETALING JAYA, Selangor FC menamatkan saingan musim ini dengan penuh bergaya apabila membelasah PDRM FC 6-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Bintang muda, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, memamerkan aksi cemerlang dengan meledak hatrik, bermula seawal minit kelapan, sebelum menambah dua lagi gol pada minit-minit akhir babak pertama dan minit ke-89.
Pemain import, Alvin Fortes turut menyumbang dua gol pada minit ke-27 dan ke-29, manakala Muhammad Alif Izwan Yuslan melengkapkan kenduri gol skuad ‘Gergasi Merah’ pada minit ke-53.
Meskipun mencatatkan kemenangan besar, ia masih tidak cukup untuk melayakkan Selangor FC ke saingan ACL2. Skuad kendalian mereka terpaksa berpuas hati menamatkan kempen di tempat ketiga, hanya ketinggalan satu mata di belakang naib juara, Kuching City FC.
— BERNAMA







