SemasaSukan

E-Sukan, Catur, Kriket & Kabadi Antara Sukan Baharu di SUKMA 2026

Empat sukan baharu iaitu e-sukan, catur, kriket dan kabadi akan dipertandingkan buat pertama kali pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan beliau hari ini.

Selain itu, tinju dan sofbol turut disenaraikan sebagai sukan wajib bermula edisi 2026, menjadikan jumlah keseluruhan sukan wajib kini 30. Dengan penambahan empat sukan baharu, temasya akan mempertandingkan 34 jenis sukan secara keseluruhan.

“Keputusan ini muktamad. Tiada lagi rayuan penambahan acara bagi memastikan penganjur mempunyai masa cukup untuk membuat persiapan menjelang 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah di Selangor,” katanya.

Mesyuarat turut meluluskan penyertaan rasmi kontinjen Brunei, dengan jenis dan jumlah sukan yang bakal disertai akan diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA.

Fokus Kepada Penyertaan Wanita
Susulan isu kurang penyertaan atlet dan pegawai teknikal wanita di SUKMA 2024, beberapa langkah baharu akan dilaksanakan:

  • Setiap acara terbuka wajib melibatkan atlet daripada jantina berbeza.

  • Sukan Olimpik akan terus dipertandingkan walaupun penyertaan atlet wanita kurang daripada enam negeri.

  • Setiap kontinjen perlu melantik ketua atau timbalan ketua kontinjen wanita, dan mengekalkan kuota minimum 20% pegawai sokongan wanita.

  • SUKMA 2026 akan mempunyai sekurang-kurangnya 30% sukarelawan wanita dan 20% pegawai teknikal wanita.

Bermula edisi 2026, penyertaan negeri ke Para SUKMA akan diurus Majlis Sukan Negeri, menggantikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri, bagi memperkemas pembangunan bakat dan persediaan atlet para.

Related Articles

Back to top button