Semasa

Ekspo PERDA 2024: MAPIM terima sokongan usahawan Pulau Pinang

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menyertai Ekspo PERDA (EXPERT) 2024 yang diperkenalkan untuk mempromosikan produk keluaran usahawan, khususnya usahawan luar bandar Pulau Pinang. Penganjuran ekspo ini memberi ruang secara menyeluruh kepada usahawan yang menjalankan perniagaan atau yang baru menceburi bidang keusahawanan. Tahun ini, EXPERT melibatkan sebanyak 252 reruai dari pelbagai kategori perniagaan, termasuk produk makanan dan minuman, perkhidmatan, pertanian, automotif, kosmetik, produk kesihatan, kraftangan, dan kelengkapan rumah.

Antara reruai yang menjadi tumpuan adalah reruai MAPIM. Rata-rata yang hadir ke reruai pameran MAPIM Malaysia teruja dengan inisiatif Bandar Wakaf Malaysia yang dipamerkan melalui teknologi Virtual Realiti (VR).

Ekspo ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Acara turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid Hijjaz serta Faizal Tahir, yang berjaya menyuntik semangat kepada para hadirin.

Pada majlis yang sama MAPIM telah menerima mockup placard simbolik sebagai tanda sokongan kuat daripada para usahawan tempatan melalui Himpunan Usahawan PERDA Menyokong Palestin. Bertemakan “Inspirasi Lokal, Transformasi Global,” majlis ini bertujuan memperkukuhkan solidariti dan kesedaran dalam kalangan usahawan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Dengan mensasarkan penyertaan lebih 250 usahawan, EXPERT 2024 mengharapkan nilai jualan serta pemerolehan kontrak berjumlah RM1.7 juta dengan kehadiran lebih 75,000 pengunjung. Dalam era digital ini, pemasaran secara dalam talian menjadi norma baharu, dan usahawan perlu mempunyai strategi yang berkesan untuk memanfaatkan peluang ini.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menyediakan pelbagai kursus dan bimbingan digital melalui Program Pendigitalan Usahawan Desa untuk membantu usahawan luar bandar dalam memasarkan dan meningkatkan kualiti produk mereka sebagai persediaan untuk memulakan perniagaan dalam talian. Kementerian ini juga menjalin kerjasama dengan pelbagai platform dalam talian seperti Presto, WOWShop, Shopee, dan Lazada untuk memperluas pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar.

Para usahawan juga digalakkan untuk mengambil peluang dalam program Alibaba Cloud di Malaysia, yang dapat membantu membangunkan Model Kecerdasan Buatan (AI) yang sesuai untuk perusahaan kecil dan sederhana. Dengan penguasaan kemahiran digital, diharapkan jurang digital antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan, sekaligus meningkatkan produktiviti dan kecekapan usahawan.

Kementerian turut menyarankan usahawan luar bandar agar memperoleh pensijilan halal bagi produk keluaran mereka, sebagai langkah untuk memperluas pasaran ke luar negara. Usahawan disarankan untuk memperkukuhkan hubungan antara mereka dan agensi kerajaan bagi memastikan mereka tidak terlepas maklumat berkaitan bantuan dan peluang yang disediakan.

Diharapkan platform EXPERT 2024 ini mampu membantu usahawan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi. Majlis turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Rashidi Bin Zinol, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Dr. Roslan bin Mahmood, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mewakili, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, YBhg. Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein bin Mydin, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), YBhg. Dato’ Haji Baderul Amin Bin Abdul Hamid, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, YBhg. Tan Sri Khalid bin Ramli, Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Haji Mohd Asri bin Baharum, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

Related Articles

Back to top button