PalestinSemasa

Empat Rakyat Palestin Terbunuh dalam Serangan Terbaharu Israel di Gaza

Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin, termasuk anak lelaki kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, telah terbunuh dalam siri serangan baharu tentera Israel di seluruh Semenanjung Gaza. Inciden ini menandakan pelanggaran terbaharu terhadap perjanjian gencatan senjata yang telah dimeterai sejak Oktober 2025.

Menurut sumber perubatan, Basir al-Bursh, 28, iaitu anak kepada Dr. Munir al-Bursh, maut selepas menjadi sasaran serangan di kawasan kejiranan al-Zahra, barat kem pelarian Jabalia.

Sementara itu, serangan dron Israel di kawasan kejiranan Shujaiya, timur Bandar Gaza, mengorbankan seorang lagi penduduk. Di kawasan kejiranan Sheikh Radwan pula, serangan dron ke atas sebuah kenderaan awam mengakibatkan seorang terbunuh dan tujuh lagi cedera, termasuk dua kanak-kanak perempuan yang mana seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal. Seorang gadis Palestin turut dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya sebelum ini selepas ditembak tentera Israel di utara kem pelarian Nuseirat.

Tembakan Darat dan Air Berterusan

Saksi mengesahkan bahawa kenderaan tentera Israel melancarkan tembakan meriam ke arah timur kem pelarian Jabalia, manakala dron melepaskan bom di kawasan al-Shakoush, barat daya Khan Younis. Helikopter tempur rejim turut melepaskan tembakan sengit di kawasan al-Mawasi dan sektor berhampiran Rafah.

Meskipun perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan pada Oktober 2025, pencerobohan Israel yang berterusan hampir setiap hari dilaporkan telah mengorbankan hampir 1,400 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 4,800 yang lain sepanjang tempoh berkenaan.

Secara keseluruhannya, sejak konflik tercetus pada Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan melebihi 174,000 lagi cedera, dengan sebahagian besar infrastruktur Gaza kini musnah sepenuhnya. Beberapa pakar berpendapat bahawa jumlah kematian sebenar di wilayah yang 60 peratus daripadanya masih diduduki rejim mungkin mencecah 200,000 orang.

Sumber: TRT World dan Agensi

Related Articles

Back to top button