Seorang ahli Parlimen Eropah (MEP) dari Belgium, Marc Botenga, mengkritik keras sikap Eropah yang terus menyokong Israel meskipun negara itu didakwa terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai di Palestin. Botenga menyuarakan kebimbangannya selepas lawatan ke Tebing Barat yang diduduki, di mana beliau menyaksikan sendiri penderitaan rakyat Palestin di bawah tindakan Israel.
Botenga, yang mewakili kumpulan Kiri di Parlimen Eropah, menegaskan bahawa Israel secara sistematik berusaha “menghalang dunia daripada melihat apa yang berlaku” di wilayah Palestin. Beliau menyifatkan tindakan Israel sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyembunyikan pencabulan hak asasi manusia, termasuk kemusnahan kehidupan ekonomi dan penindasan terhadap rakyat Palestin melalui keganasan dan ketakutan.
Dalam temu bual dengan agensi berita Anadolu, Botenga juga mengulas tentang protes yang disertainya di Parlimen Eropah, yang menuntut tindakan terhadap pembunuhan kanak-kanak di Gaza. “Israel bukan sahaja menyerang Gaza tetapi juga melanjutkan kekejamannya ke bahagian lain Palestin,” tegas beliau.
Botenga turut menyatakan harapannya bahawa pemimpin polisi asing EU yang akan datang, Kaja Kallas, akan mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap isu ini. Namun, beliau mengingatkan bahawa sokongan berterusan terhadap Israel oleh blok Eropah mencerminkan kegagalan moral dan politik untuk mempertahankan hak asasi manusia rakyat Palestin.
Lawatan Botenga ke Tebing Barat memberi gambaran lebih jelas mengenai penderitaan rakyat Palestin yang sering diabaikan. Beliau menekankan bahawa kegagalan EU untuk mengecam tindakan ini menunjukkan kelemahan blok itu dalam memainkan peranan sebagai pembela keadilan global.
SUMBER : TRT World