Pelapor PBB berkata dunia sedang menyaksikan “kebuluran besar-besaran” di Gaza, di mana lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk kekurangan makanan akibat sekatan dan pengeboman Israel sejak Oktober lalu.
“Saya tidak pernah menyangka kita akan menyaksikan kebuluran besar-besaran dalam kadar ini pada abad ke-21. Namun di sini, selepas 100 hari pengeboman, makanan, bahan api dan air tidak dibenarkan masuk,” kata Francesca Albanese pada hari Selasa di X.
“Kanak-kanak mati dulu. Orang dewasa akan menyusul. Di hadapan mata kita.”
“Rayuan saya kepada warga Israel: Kami tidak boleh menghentikan ini tanpa anda. Saya mengakui sepenuhnya kesakitan anda yang berpanjangan, termasuk untuk tebusan yang masih di Gaza,” katanya sambil menambah: “Tolong jangan terlepas pandang kemusnahan yang menimpa Gaza, terutamanya anak-anak.”
Kenyataannya dibuat sehari selepas kenyataan bersama yang dikongsi oleh Program Makanan Sedunia, UNICEF, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia .
“Kanak-kanak berisiko tinggi untuk mati akibat kekurangan zat makanan dan penyakit. Mereka sangat memerlukan rawatan perubatan, air bersih dan perkhidmatan sanitasi, tetapi keadaan di lapangan tidak membenarkan kami sampai kepada kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell dalam kenyataan bersama.
Pengarah Eksekutif WFP Cindy McCain, pihaknya memberi amaran: “Orang-orang di Gaza berisiko mati kelaparan, hanya beberapa kilometer dari trak yang dipenuhi dengan makanan. Setiap jam yang hilang meletakkan banyak nyawa dalam bahaya.”
Israel telah menyerang Gaza sejak 7 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya 24,285 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan 61,154 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Israel berkata kira-kira 1,200 orang telah terbunuh dalam serangan Hamas.
Serangan Israel telah menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus daripada infrastruktur wilayah itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI