Tentera rejim Israel terus mengganas di Semenanjung Gaza apabila mengorbankan sekurang-kurangnya 11 lagi rakyat Palestin, termasuk tiga kanak-kanak, dalam siri serangan udara dan artileri di seluruh wilayah terkepung itu. Insiden ini berlaku di sebalik perjanjian gencatan senjata yang sepatutnya dipatuhi.
Dalam satu kejadian memilukan di barat laut Bandar Gaza, lima beranak yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak mereka terkorban selepas sebuah apartmen kediaman dibedil oleh tentera rejim.
“Satu-satunya ahli keluarga yang terselamat dalam serangan kejam ini ialah seorang anak yang kebetulan tiada di rumah ketika pengeboman berlaku,” jelas jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal.
Sementara itu, sumber perubatan di Hospital Al-Shifa dan Hospital Al-Ahli Baptist mengesahkan pihaknya menerima tiga jenazah mangsa susulan bedilan artileri berhampiran bulatan Dawla di kawasan kejiranan Zeitoun.
Dalam satu lagi serangan udara berasingan di kejiranan Nasr, jet pejuang Israel membedil sebuah apartmen sehingga memusnahkan struktur bangunan dan kediaman berhampiran. Serangan itu mengorbankan lima rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak perempuan.
Taktik Licik Meluaskan Kawasan Penjajahan
Di sebalik serangan fizikal, tentera Israel dilaporkan menggunakan taktik licik untuk memperluaskan zon kawalan ketenteraan mereka di timur Deir al-Balah dan selatan Zeitoun.
Saksi mendedahkan, jentera berat dan kenderaan tentera Israel bertindak merempuh masuk ke kawasan berhampiran bulatan Abu Miri di bawah perlindungan tembakan artileri yang hebat. Pihak tentera bertindak mengalih blok konkrit yang menandakan zon sempadan keselamatan Israel—atau dikenali sebagai “garisan kuning”—sejauh 100 meter ke arah barat.
Tindakan itu menyebabkan puluhan keluarga Palestin yang terjaga pada waktu pagi mendapati rumah dan hartanah mereka kini berada di bawah zon rampasan dan kawalan tentera Israel. Penduduk Palestin diharamkan sama sekali daripada menghampiri garisan keselamatan tersebut, yang kini telah merangkumi lebih 70 peratus daripada keseluruhan kawasan Semenanjung Gaza.
Ultimatum Paksa Pelarian Keluar
Rentetan daripada perluasan sempadan haram itu, berpuluh-puluh keluarga Palestin terpaksa melarikan diri dari kawasan Dawla selepas menerima perintah pengusiran (ultimatum) daripada tentera Israel melalui panggilan telefon kepada salah seorang penduduk tempatan.
Pelarian bertindak meninggalkan sisa-sisa khemah dan runtuhan rumah mereka di kem pelarian Abu Marahil serta Dar al-Salam untuk mencari perlindungan baharu.
Berdasarkan data terkini daripada Kementerian Kesihatan Gaza, siri pelanggaran gencatan senjata oleh Israel sejak 10 Oktober 2025 telah mengorbankan lebih 1,144 rakyat Palestin dan mencederakan 3,703 yang lain setakat Jumaat lalu.
Secara keseluruhannya, kempen pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 73,000 nyawa, mencederakan lebih 173,000 orang, serta melumpuhkan hampir 90 peratus daripada keseluruhan infrastruktur awam di Gaza.
Sumber: TRT World & Agensi







