Sekumpulan aktivis, wartawan dan pekerja kemanusiaan melancarkan satu kempen digital secara besar-besaran di bawah tanda pagar #TheyLiedToYou (“Mereka Berbohong kepada Anda”) bagi membongkar realiti sebenar krisis kemanusiaan di Gaza yang masih berdarah.
Kempen global yang dilancarkan dalam bahasa Arab dan Inggeris itu bertujuan mencabar naratif antarabangsa yang mendakwa bahawa perang genosid di wilayah terkepung itu telah berakhir susulan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai sejak 10 Oktober tahun lalu.
Penganjur kempen menegaskan bahawa penurunan drastik dalam liputan media antarabangsa sejak kebelakangan ini tidak bermakna penderitaan penduduk Gaza telah terhenti, sebaliknya kekejaman rejim Israel kini berlaku di luar radar dunia.
Gencatan Senjata Hanya Di Atas Kertas
Menerusi perkongsian klip video dan hantaran bertulis di media sosial, kempen ini mendedahkan sisi gelap pelanggaran perjanjian oleh Israel yang terus melancarkan serangan udara, mencetuskan kebuluran, serta menyekat bantuan perubatan.
Israel didakwa gagal memenuhi kewajipan asas gencatan senjata termasuk keengganan membuka pintu sempadan bagi membenarkan kemasukan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Malah, rejim Zionis kini dilaporkan telah meluaskan kawasan penjajahan mereka merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan wilayah Gaza—jauh melebihi had 53 peratus yang ditetapkan dalam perjanjian.
“Mereka berbohong kepada anda apabila mereka mengatakan wujudnya gencatan senjata di Gaza. Gencatan senjata jenis apakah ini sekiranya kanak-kanak masih dibunuh, rumah dibom, khemah pelarian disasarkan, dan keluarga terus meratapi kematian setiap hari?” tegas jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, menerusi platform X.
Beliau menambah, gencatan senjata yang sebenar sepatutnya bermakna tiada lagi bunyi ledakan bom, kanak-kanak dapat tidur tanpa ketakutan, dan rakyat Palestin boleh kembali membina kehidupan mereka.
Luahan Pilu Kanak-Kanak Hospital
Kempen digital ini turut menyiarkan video menyayat hati memaparkan klip kanak-kanak Gaza yang sedang terlantar sakit.
“Mereka berbohong kepada anda dan mengatakan perang telah berakhir. Di sini masih ada perang, kelaparan, kemusnahan, pengeboman, dan kami terus kehilangan orang yang tersayang,” luah seorang kanak-kanak Palestin yang dipasang dengan tiub bantuan perubatan di sebuah hospital.
Sejak perjanjian gencatan senjata kononnya berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, Israel dilaporkan telah melanggar komitmen tersebut dengan membunuh 1,127 rakyat Palestin dan mencederakan 3,643 yang lain.
Secara keseluruhannya, sejak serangan berskala besar bermula pada 8 Oktober 2023, kempen pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel telah mengorbankan lebih 73,000 nyawa manakala lebih 173,000 individu lagi mengalami kecederaan.
Sumber: TRT World & Agensi







