
KUALA LUMPUR, 22 Julai 2025 – Pelan tindakan jangka pendek dan panjang kerajaan Malaysia dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Timur Tengah menjadi tumpuan utama Persidangan Dewan Rakyat hari ini. Menurut Aturan Mesyuarat di portal Parlimen, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) meminta penjelasan Perdana Menteri mengenai usaha memastikan kepentingan Malaysia terpelihara dalam situasi tersebut.
Pada sesi yang sama, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) memohon Perdana Menteri menjelaskan bagaimana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 2002 berkaitan kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan mempengaruhi penentuan sempadan maritim di Laut Sulawesi, termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z) antara Malaysia dan Indonesia.
Dalam sesi soal jawab, Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menjelaskan langkah kerajaan menangani isu tarif Amerika Syarikat dengan penglibatan kerajaan negeri. Sementara itu, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerangkan hasil penjimatan daripada pengurangan subsidi dan kesannya terhadap pasaran telur.
Selepas itu, persidangan akan membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025, diikuti bacaan kedua Rang Undang-Undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 serta Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025. Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 ini dijadual berlangsung selama 24 hari, dengan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 pada 31 Julai sebagai antara agenda utama.
Bernama.







