EkonomiSemasa

GM Klang Tingkat Pengalaman Komuniti Melalui Ruang Komersial

Pusat Pemborong GM Klang kini menerima permintaan yang semakin meningkat bagi penggunaan ruang komuniti dan acara miliknya. Kawasan strategik seperti Dataran GM Klang, Podium Blok B, dan Atrium kini menjadi lokasi pilihan utama bagi penganjuran pelbagai aktiviti serta program awam.

Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang, Norsuhaida Othman, menyatakan bahawa sambutan menggalakkan terhadap ruang guna sama ini membuktikan pusat komersial fizikal masih mempunyai potensi besar jika diaktifkan dengan kandungan dan pengalaman yang bersesuaian.

Sejak dilancarkan pada November lepas, Dataran GM Klang yang berkeluasan kira-kira separuh padang bola itu berjaya menarik perhatian ramai penganjur sebagai lokasi pilihan untuk program komuniti dan aktiviti hujung minggu.

“Pusat komersial hari ini tidak boleh hanya bergantung kepada fungsi jual beli semata-mata. Pengunjung mahukan pengalaman, pemborong mahukan pendedahan manakala jenama dan penganjur memerlukan ruang yang boleh menghubungkan mereka secara langsung dengan komuniti.

“Sebab itu, peningkatan permintaan terhadap ruang seperti Dataran GM Klang, Podium Blok B dan Atrium satu perkembangan positif yang memperlihatkan GM Klang semakin diterima sebagai platform aktiviti yang hidup, fleksibel dan dekat dengan masyarakat,” katanya.

Rancangan Tarikan Skala Besar Interaktif

Bagi merancakkan lagi suasana, GM Klang sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk penganjur acara, jenama tempatan, institusi pendidikan, dan persatuan. Pelbagai pengisian menarik telah diatur seperti festival makanan, reruai pop-up, jualan promosi, serta sambutan bertema seperti Ambang Merdeka dan Tahun Baharu.

Sebagai usaha memperkukuh pengalaman pengunjung, GM Klang kini sedang merancang tarikan berskala lebih besar, termasuk Persembahan Projection Mapping Berskala Besar Eksklusif 2026. Langkah ini bertujuan menjadikan ruang fizikal mereka lebih interaktif dan relevan dengan generasi muda, sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026.

Norsuhaida menegaskan bahawa pengaktifan ruang ini bukan sekadar untuk memenuhi kalendar acara, malah bertujuan membina ekosistem yang inklusif di mana semua pihak mendapat nilai tambah—pengunjung mendapat pengalaman baharu, pemborong menikmati aliran trafik pelanggan yang tinggi, dan penganjur dapat mendekati komuniti secara terus. — BERNAMA

Related Articles

Back to top button