PalestinSemasa

Hubungan Trump, Netanyahu Tegang dalam Panggilan Telefon Berhubung Konflik di Lubnan

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan telah mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu perbualan telefon yang tegang berhubung tindakan ketenteraan Israel yang semakin meningkat di Lubnan.

Menurut laporan portal berita Axios yang memetik sumber terdekat, pertukaran kenyataan yang hangat antara kedua-dua pemimpin itu berlaku ketika ketegangan di Asia Barat dijangka melepasi sempadan Lubnan. Pihak Iran sebelum ini turut memberi amaran keras bahawa ia mungkin akan menarik diri daripada rundingan diplomatik yang sedang berjalan dengan Washington sekiranya serangan berterusan Israel tidak dihentikan.

Dalam laporan tersebut, Trump mengkritik hebat pendekatan agresif yang diambil oleh Netanyahu dan menggesa agar keadaan ditenangkan dengan segera. Beliau turut memberi amaran kepada Israel bahawa sebarang serangan ke atas ibu kota Beirut hanya akan memperdalamkan lagi pengasingan antarabangsa terhadap rejim Tel Aviv itu.

Sumber yang sama menyatakan bahawa campur tangan tegas daripada Presiden AS itu secara tidak langsung telah berjaya menyekat dan menghentikan rancangan awal Israel untuk melancarkan serangan berskala besar ke atas ibu kota Lubnan tersebut.

Laporan mengenai pertembungan diplomatik ini muncul ketika spekulasi antarabangsa membayangkan kemungkinan perjanjian damai atau gencatan senjata diperbaharui di rantau tersebut, di tengah-tengah krisis yang melibatkan serangan dron dan peluru berpandu yang kian meruncing.

SUMBER: Axios / TRT World

Related Articles

Back to top button