MEKAH : Jemaah luar kini boleh membuat tempahan untuk menunaikan ibadah umrah serta mendapatkan visa menerusi platform elektronik Maqam.
Menurut laporan Arab News, Kementerian Haji dan Umrah berkata inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperbaiki prosedur dan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan berhubung perkara itu.
Umrah pilgrims from outside Saudi Arabia: Through this link, you can book Umrah services with ease and comfort: https://t.co/00ki7aCNHG#Makkah_and_Madinah_Eagerly_Await_You pic.twitter.com/oNuEzLezUH
— Ministry of Hajj and Umrah (@MoHU_En) September 18, 2022
Tambahnya lagi, jemaah boleh memilih pakej umrah daripada ejen sah di negara masing-masing menerusi sistem dalam talian berkenaan dan melengkapkan prosedur permohonan visa yang diperlukan.
Selepas selesai proses memperoleh kelulusan itu, mereka akan menerima nombor rujukan dan setelah berjaya melakukan pembayaran secara dalam talian, dalam masa 24 jam platform tersebut akan mengeluarkan visa.
Visa terbabit sah selama 90 hari dari tarikh ia dikeluarkan.
Dalam pada itu, penginapan dan penerbangan pergi dan balik Mekah, Jeddah serta Madinah juga boleh ditempah menerusi portal itu selain mengatur perjalanan domestik di Arab Saudi.
Kementerian itu menjelaskan, visa terbabit membolehkan jemaah bebas melawat beberapa bandar bagi lebih mendalami kepelbagaian budaya di Arab Saudi.