DuniaSemasa

Iran Umum 3,117 Terkorban Dalam Pergolakan, Barat Kenakan Sekatan Baharu

Kerajaan Iran buat pertama kalinya mengeluarkan angka kematian rasmi berhubung protes besar-besaran yang melanda negara itu sejak akhir Disember lalu, dengan mengesahkan seramai 3,117 orang telah terkorban.

Yayasan Hal Ehwal Syahid dan Veteran dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa jumlah tersebut merangkumi 2,427 orang awam serta anggota keselamatan. Data berkenaan diperolehi daripada laporan forensik Pertubuhan Perubatan Perundangan Iran.

Dakwaan “Insiden Pengganas”

Pihak berkuasa Tehran menyifatkan kematian tersebut berpunca daripada “insiden pengganas” yang didakwa menyamai kekejaman kumpulan pengganas Daesh. Kebanyakan mangsa dikatakan terdiri daripada orang awam yang terbunuh akibat tembakan rambang oleh elemen pengganas terancang yang menyusup ke dalam kumpulan penunjuk perasaan.

Pengumuman ini bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding anggaran beberapa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa yang mendakwa angka korban sebenarnya melebihi 15,000 orang. Namun, Presiden Masoud Pezeshkian dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menepis laporan luar tersebut sebagai tidak berasas.

Krisis Ekonomi Cetus Kemarahan

Protes di Republik Islam itu pada mulanya tercetus akibat keadaan ekonomi yang semakin meruncing, terutamanya disebabkan inflasi yang melambung tinggi dan kejatuhan mendadak nilai mata wang negara. Keadaan menjadi lebih tegang apabila kumpulan penentang mula menyeru protes jalanan yang membawa kepada pertempuran terbuka dengan pihak keselamatan.

Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran dalam satu kenyataan mendakwa pergolakan ini adalah taktik Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk memecahbelahkan perpaduan sosial serta menggugat kedaulatan negara itu.

Tindakan Balas Antarabangsa

Susulan laporan mengenai tindakan keras pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah telah mengenakan sekatan baharu ke atas Iran.

Kesan diplomatik turut dirasai apabila diplomat Iran kini dilarang memasuki bangunan Parlimen Eropah, manakala jemputan Menteri Luar Iran ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos telah dibatalkan secara rasmi. Pihak kehakiman Iran pula berikrar akan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi terhadap individu yang bertanggungjawab dalam kejadian vandalisme dan keganasan sepanjang tempoh protes tersebut.

Sumber: Agensi Anadolu

Related Articles

Back to top button