Menteri Kewangan Palestin, Estephan Anton Salameh memberi amaran bahawa rejim Israel kini berusaha untuk “menghapuskan” hasil pelepasan cukai milik Palestin bernilai kira-kira USD 6 bilion (sekitar RM27.8 bilion) yang ditahan oleh Tel Aviv.
Bercakap dalam satu sidang media di ibu pejabat kementeriannya di Ramallah pada Rabu, Salameh menegaskan bahawa tindakan Israel yang mahu memutuskan hubungan perbankan dengan Palestin merupakan satu langkah melampau.
“Langkah Israel untuk memutuskan hubungan perbankan dengan Palestin bermakna ia akan melepasi garisan merah terakhir,” kata Salameh.
Taktik Lumpuhkan Entiti Dan Pembentukan Negara Palestin
Salameh mendedahkan bahawa krisis kewangan teruk yang melanda Pihak Berkuasa Palestin (PA) akibat tindakan rejim menahan hasil cukai berkenaan kini telah berterusan berlarutan selama 15 bulan.
Beliau menyifatkan siri tekanan kewangan tersebut sebagai satu rancangan terancang untuk meruntuhkan struktur pentadbiran Palestin secara keseluruhan.
“Semua krisis yang kita hadapi sebagai kerajaan dan rakyat bertujuan untuk memusnahkan entiti Palestin dan menghalang penubuhan negara,” jelas beliau.
Keperluan Belanjawan Dan Krisis Gaji
Kerajaan Palestin ketika ini memerlukan kira-kira 1.5 bilion shekel (kira-kira USD 445 juta) setiap bulan untuk menampung perbelanjaan asas. Walau bagaimanapun, disebabkan sekatan kewangan oleh rejim Israel, perbelanjaan semasa terpaksa dipotong ke tahap minimum iaitu tidak melebihi 850 juta shekel (kira-kira USD 252 juta) sebulan.
Hasil pelepasan (clearance revenues) merupakan cukai yang dikutip oleh Israel bagi pihak Pihak Berkuasa Palestin ke atas barangan import yang memasuki wilayah Palestin, sebelum dipindahkan setiap bulan di bawah Protokol Ekonomi Paris 1994. Dana ini menyumbang kira-kira 56 peratus daripada keseluruhan pendapatan awam Palestin.
Sejak 2019, Israel kerap melakukan pemotongan secara sepihak sebelum menghentikan pemindahan dana tersebut secara total kira-kira setahun lalu. Impak pemotongan ini telah melumpuhkan keupayaan kerajaan Palestin untuk membayar gaji penuh kepada pegawai serta kakitangan perkhidmatan awamnya.
Bantuan Antarabangsa Masih Belum Mencukupi
Sambil memberi amaran bahawa krisis ini dijangka meruncing berikutan suhu politik dan pilihan raya Israel yang makin hampir, Salameh turut meluahkan rasa terkilan terhadap masyarakat antarabangsa. Beliau menggesa negara-negara luar untuk tampil menyalurkan sokongan kewangan secara lebih drastik bagi membantu Palestin mendepani keadaan luar biasa ini.
(Sumber berita: Agensi Anadolu / TRT World)






