DuniaSemasa

Barat daya Eropah ‘terbakar’ akibat gelombang haba

MADRID: Gelombang haba yang melanda barat daya Eropah dengan cuaca panas melampau telah mencetuskan kebakaran hutan besar-besaran sehingga memaksa penduduk dipindahkan.

Pihak berkuasa memaklumkan, hampir 900 orang terpaksa dipindahkan, manakala puluhan rumah musnah dan mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di Perancis, Portugal dan Sepanyol, manakala Britain dijangka bergelut dengan ‘suhu melampau’ dengan kebakaran yang semakin marak dan sukar dikawal.

Dalam pada itu, lima wilayah di bahagian tengah dan utara Portugal, mencatatkan suhu mencecah 47 darjah Celsius, kelmarin, sebelum menurun semula namun kembali menerima amaran merah, semalam.

Menurut laporan Al Arabiya, di Greece, sebuah helikopter yang digunakan untuk membantu memadamkan kebakaran hutan di Pulau Samos terhempas ke dalam Laut Aegean Rabu lepas, menyebabkan dua daripada empat krunya terkorban.

 

Manakala di Sepanyol, kebakaran tercetus berhampiran Taman Negara Monfrague pada Khamis lalu susulan suhu mencecah 37 darjah Celcius dan dilaporkan masih berterusan marak.

Pihak berkuasa negara itu melaporkan kira-kira 2,300 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas hampir 20 kebakaran belum dapat dikawal, termasuk satu kejadian berdekatan Mijas.

Kebakaran hutan telah memusnahkan 30,000 hektar tanah, tahun ini, iaitu keluasan paling besar sejak Portugal ditimpa bencana musim panas yang meragut kira-kira 100 nyawa pada 2017.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, menciap bahawa beliau sedang memantau rapi perkembangan kebakaran aktif yang memberikan ‘risiko melampau’.

Related Articles

Back to top button