
Israel mendakwa operasi ketenteraan terbaharunya di bahagian tengah Semenanjung Gaza telah diselaraskan terlebih dahulu dengan Amerika Syarikat (AS) dan dijangka berlarutan selama beberapa hari, lapor Radio Tentera Israel pada Rabu.
“Sumber keselamatan memaklumkan bahawa operasi ini telah diselaraskan lebih awal dengan pihak AS, yang telah diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa sebelum serangan dimulakan,” kata wartawan Radio Tentera Darat Israel, Doron Kadosh.
Kadosh menyifatkan tindakan ketenteraan itu sebagai satu “operasi terhad yang meliputi jarak antara 300 hingga 400 meter melepasi garisan kuning”.
Menurut beliau, pihak tentera membuat keputusan untuk melancarkan kemaraan tersebut bagi memusnahkan rangkaian terowong yang didakwa boleh mengancam kedudukan anggota tentera Israel berhampiran garisan sempadan berkenaan.
“Operasi berkenaan dijangka berlangsung selama beberapa hari,” kata Kadosh, sambil mendakwa pihak tentera hanya meminta penduduk tempatan supaya mengelak daripada menghampiri kawasan operasi pasukan keselamatan itu.
Serangan tersebut—yang merupakan pencerobohan darat pertama seumpamanya sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025—sekali lagi memaksa keluarga-keluarga Palestin di tengah Gaza melarikan diri sehelai sepinggang.
Seorang wartawan Agensi Anadolu di lapangan melaporkan bahawa pasukan tentera Israel telah mara ke kawasan Al-Mughraqa, persekitaran jambatan Wadi Gaza di Jalan Salah al-Din, serta kawasan kejiranan Al-Dawa di bahagian utara kem pelarian Nuseirat.
Saksi di lokasi kejadian memaklumkan bahawa deretan kenderaan tentera Israel, termasuk jentolak berperisai, bergerak masuk dari arah timur diiringi tembakan mesingan berat dan bedilan artileri bertali arus. Sumber tempatan Palestin menganggarkan pasukan tentera terbabit telah mara kira-kira 200 meter ke arah barat dari “garisan kuning”.
Untuk rekod, “garisan kuning” diwujudkan di bawah perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang diumumkan pada Oktober 2025, bertujuan memisahkan zon penempatan tentera Israel daripada kawasan yang dibenarkan untuk pergerakan orang awam Palestin.
Ketika gencatan senjata itu mula dilaksanakan, Israel menguasai kira-kira 53 peratus daripada keseluruhan Semenanjung Gaza di sebelah timur garisan berkenaan. Bagaimanapun, menjelang Oktober 2026, penguasaan berkesan rejim itu dilaporkan telah melebar kepada kira-kira 70 peratus daripada wilayah terkepung tersebut, menurut anggaran pihak berkuasa tempatan.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)