PalestinSemasa

Israel Lantik Ketua Polis Baharu Baitulmaqdis Timur: Agenda Ben-Gvir Kuasai Al-Aqsa Menjelang Ramadan?

Ketegangan di Baitulmaqdis Timur dijangka memuncak menjelang bulan Ramadan apabila Israel melantik Mejar Jeneral Avshalom Peled sebagai Komander Polis Daerah Jerusalem yang baharu. Pelantikan yang dibuat hanya enam minggu sebelum bermulanya bulan suci umat Islam itu dilihat sebagai strategi Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir, untuk mempercepatkan rancangan penguasaan ke atas Masjid Al-Aqsa.

Laporan media tempatan, Haaretz, mendedahkan bahawa pelantikan Peled dibuat bagi menggantikan Mejar Jeneral Amir Arzani yang didakwa “dipaksa berundur” oleh Ben-Gvir. Arzani dilaporkan enggan tunduk kepada desakan menteri tersebut yang mahu melakukan perubahan drastik terhadap status quo di tapak suci berkenaan. Haaretz menyifatkan tindakan Ben-Gvir ini sebagai usaha “menyemarakkan lagi api” konflik pada tahun ini, memandangkan Ramadan sering menjadi tempoh sensitif di wilayah diduduki.

Dalam majlis angkat sumpah, Ben-Gvir secara terbuka merujuk perkarangan Al-Aqsa sebagai “tempat paling penting bagi orang Yahudi” dan menyatakan keyakinan bahawa Peled akan memimpin dengan tegas. Senada dengan itu, Peled dalam ucapan sulungnya berikrar untuk memelihara kedaulatan Israel di kawasan tersebut secara “tegas dan tidak berkompromi” bagi meningkatkan pencegahan terhadap sebarang bentuk tentangan.

Langkah ini menimbulkan kebimbangan besar mengenai nasib Masjid Al-Aqsa, memandangkan pihak berkuasa Israel sejak tahun 2003 telah membenarkan pencerobohan peneroka haram hampir setiap hari. Dengan pelantikan ketua polis yang sehaluan dengan agenda ekstrem Ben-Gvir, dibimbangi sekatan ke atas jemaah Palestin akan diperketatkan lagi sepanjang Ramadan ini.

Sumber: Agensi Anadolu

Related Articles

Back to top button