Tentera Israel dilaporkan sedang membuat persediaan bagi mempertingkat pencerobohan ketenteraan berskala besar di Tebing Barat yang diduduki, termasuk merancang pengambilalihan lebih banyak kem pelarian Palestin.
Menurut laporan media Israel Walla yang memetik pegawai keselamatan, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dipercayai bakal mendesak pelaksaan operasi ketenteraan yang lebih meluas dalam masa terdekat, terutamanya di kawasan utara Tebing Barat.
Pegawai keselamatan menyuarakan kebimbangan bahawa ketegangan di lapangan semakin memuncak berikutan pembinaan dan perluasan penempatan haram serta pos kediaman penjajah Israel yang berterusan di wilayah berkenaan.
Sebelum ini, Israel melancarkan operasi ketenteraan berskala besar di utara Tebing Barat pada Januari 2025 dengan mengambil alih kem pelarian Jenin, Tulkarem, dan Nur Shams. Pencerobohan itu memaksa kira-kira 32,000 rakyat Palestin sehelai sesepoint meninggalkan kediaman mereka, mengikut data Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Siri serbuan tentera dan serangan oleh peneroka haram Israel semakin meningkat secara mendadak di seluruh Tebing Barat sejak bermulanya serangan ke atas Gaza pada Oktober 2023.
Di bawah undang-undang antarabangsa, Tebing Barat—yang diduduki Israel sejak 1967—merupakan bahagian teras wilayah Palestin yang sah, dan pembinaan penempatan serta pemindahan penduduk oleh kuasa pendudukan dianggap melanggar konvensyen antarabangsa.
Sumber: Agensi Berita Anadolu (AA) via TRT World






