PalestinSemasa

Israel Tembok Jalan Terakhir, 47 Keluarga Palestin Terpencil di Tebing Barat

Tentera Israel telah bertindak menutup laluan akses terakhir menuju ke Khirbet Ras al-Ahmar, sebuah perkampungan kecil di tenggara Tubas, utara Tebing Barat yang diduduki, sekali gus mengasingkan seramai 47 keluarga Palestin secara total.

Seorang penduduk tempatan, Thaer Basharat, mendedahkan kepada Agensi Anadolu bahawa pengepungan itu semakin melumpuhkan kehidupan penduduk selepas tentera Israel bertindak menggali parit merentasi laluan terakhir yang hanya boleh dilalui oleh traktor dan ternakan. Langkah agresif itu menyusuli tindakan menutup semua jalan tanah ke perkampungan berkenaan sejak lebih dua bulan lalu.

Basharat menggambarkan Khirbet Ras al-Ahmar kini ibarat “sangkar” yang dikelilingi parit, tembok, dan zon tentera yang tertutup sepenuhnya daripada kawasan luar.

Sumber Rezeki Terjejas, Disyaki Percubaan Pengusiran Paksa

Kawasan kampung yang dihuni 47 keluarga itu bergantung sepenuhnya kepada aktiviti penternakan. Walau bagaimanapun, sekatan terkini menyebabkan penduduk tidak lagi dapat membawa masuk bekalan makanan asas mahupun makanan bagi ternakan biri-biri mereka.

Daripada kira-kira 360,000 dunam kawasan tanah ragut yang menjadi sumber rezeki utama penduduk, hampir 90 peratus daripadanya kini telah dirampas atau diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh rejim Israel. Penduduk percaya bahawa tindakan menyekat pergerakan dan bekalan asas ini merupakan sebahagian daripada strategi terancang Israel untuk mengusir komuniti tersebut dari tanah air mereka secara paksa.

Tindakan pencerobohan dan tekanan oleh tentera rejim serta peneroka haram Israel di Tebing Barat dilaporkan semakin meningkat sejak berlakunya perang di Gaza pada Oktober 2023.

Sumber: Agensi Anadolu (AA) via TRT World

Related Articles

Back to top button