Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan bahawa pembunuhan beramai-ramai, pembunuhan, kebuluran serta pelbagai kekejaman lain terus berlaku setiap hari di Gaza di hadapan mata dunia yang hanya memerhati, sambil menuduh Israel telah mengubah wilayah Palestin itu menjadi “kem tahanan terbesar di dunia”.
“Pembunuhan beramai-ramai, pembunuhan, diskriminasi, pengasingan, kebuluran dan banyak lagi terus berlaku hampir setiap hari di hadapan mata seluruh dunia di Gaza, yang telah diubah oleh kerajaan Israel menjadi kem tahanan terbesar di dunia,” kata Erdogan ketika berucap pada mesyuarat kumpulan parlimen Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) yang memerintah di Ankara pada Rabu.
Presiden Türkiye itu turut memberi amaran bahawa satu bencana kemanusiaan besar sedang melanda Gaza menjelang ketibaan musim sejuk, sambil menyalahkan sekatan tidak berperikemanusiaan yang dikenakan oleh Israel.
Beliau menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan kanak-kanak Palestin, selain menggambarkan keadaan menyayat hati keluarga-keluarga yang terpaksa bergelut dalam situasi banjir dan berlumpur tanpa tempat perlindungan yang mencukupi daripada cuaca sejuk.
Dalam pada itu, Erdogan turut membidas negara-negara yang selama ini menampilkan diri mereka sebagai pembela demokrasi dan hak asasi manusia, dengan menyifatkan kemunafikan mereka kini telah terdedah sepenuhnya.
Menyeru tindakan yang lebih tegas daripada dunia Islam, Erdogan berkata negara-negara Islam harus bermuhasabah dan menilai semula secara kritis tindak balas mereka terhadap situasi yang sedang berlaku di Gaza.
“Daripada hanya bergantung kepada pihak lain, kita sebagai umat Islam mesti mengambil tindakan dan memastikan tekanan yang lebih hebat dikenakan ke atas Israel,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa negara-negara Islam agar mempergiat usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum keadaan musim sejuk menjadi semakin buruk.
“Kami bersedia untuk menghantar kontena bantuan kepada saudara-saudari kami di Gaza. Kami juga sedang mengambil langkah-langkah yang perlu berkaitan penyaluran bantuan kemanusiaan,” katanya.
“Walaupun pihak lain memejamkan mata dan memekakkan telinga, kami tidak akan sekali-kali berdiam diri dalam menghadapi penindasan di Gaza,” tambah Erdogan.
Beliau turut menekankan bahawa Türkiye akan terus menunaikan tanggungjawab kemanusiaannya meskipun negara itu terpaksa bertindak sendirian.
Ketidakstabilan Global Semakin Meningkat
Beralih kepada perkembangan antarabangsa yang lebih luas, Erdogan memberi amaran bahawa dunia kini sedang melalui tempoh ketidakpastian yang mendalam serta persaingan geopolitik yang semakin sengit.
“Kita berada di tengah-tengah proses yang menyakitkan apabila susunan dunia lama sedang runtuh, tiada siapa yang tahu apa yang akan menggantikannya, dan persaingan yang jauh lebih sengit serta memusnahkan berbanding apa yang dipaparkan dalam media dan di kaca televisyen sedang berlaku di sebalik tabir,” ujarnya.
Erdogan merujuk kepada perang Rusia-Ukraine yang masih berterusan serta ketegangan yang semakin memuncak di rantau Teluk sebagai contoh nyata ketidakstabilan antarabangsa yang kian meruncing.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)







