PalestinSemasa

Pembayar Cukai AS Serah Bukti Kepada ICC, Gesa Waran Tangkap Terhadap Trump dan Pegawai Kanan

Sekumpulan pembayar cukai dan peguam hak asasi manusia Amerika Syarikat (AS) telah mengemukakan bukti kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menggesa pihak pendakwa raya mahkamah itu mendapatkan waran tangkap terhadap Presiden AS, Donald Trump, Setiausaha Negara, Marco Rubio serta beberapa pegawai kanan Amerika yang lain atas dakwaan bersubahat dan membantu Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid), jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Penyerahan yang dihantar ke pejabat pendakwa raya ICC pada 11 November lalu itu merangkumi lebih 500 bahan bukti, termasuk kenyataan saksi, afidavit serta dokumen yang memperincikan sokongan ketenteraan, kewangan dan diplomatik AS kepada Israel.

Digerakkan oleh Perikatan Pembayar Cukai Menentang Genosid (TAAG), inisiatif berkenaan bertujuan memastikan pegawai-pegawai Amerika dipertanggungjawabkan atas peranan yang didakwa membolehkan jenayah terus dilakukan oleh pegawai Israel di Gaza.

“Bagi kebanyakan daripada kita, lebih mudah untuk memejamkan mata terhadap apa yang dilakukan atas nama kita setiap hari menggunakan wang kita sendiri. Namun, anak guam kami tidak pernah berpaling daripada kenyataan itu,” kata peguam hak asasi manusia yang juga peguam bersama TAAG, Maria Kari kepada TRT World.

Kari menjelaskan bahawa ahli TAAG mengambil masa selama setahun untuk mengumpul bukti terhadap Trump dan Rubio, dengan hujah bahawa jenayah yang didakwa itu mustahil dapat dilaksanakan tanpa “dana tunai, persenjataan serta sokongan diplomatik tanpa syarat dan tidak berasas” daripada pentadbiran Trump terhadap pendudukan Israel.

“Kami beralih kepada ICC kerana kami telah mencuba segala-galanya di dalam negara; kami telah memfailkan saman di mahkamah domestik, mengetuk pintu setiap ahli Kongres dan menyertai protes aman,” katanya.

Menurut Kari, penyerahan bukti itu juga bertujuan mewakili lebih 64,000 kanak-kanak yang terbunuh atau cedera di Gaza.

Batasan Akauntabiliti Domestik

Keputusan untuk membawa kes itu ke The Hague menyusuli usaha bertahun-tahun yang menemui jalan buntu dalam menuntut akauntabiliti pegawai AS menerusi mahkamah domestik.

Antara usaha terdahulu ialah kes DCIP lawan Biden pada tahun 2023, apabila sekumpulan rakyat Amerika berketurunan Palestin memfailkan saman terhadap Presiden ketika itu, Joe Biden, Setiausaha Negara Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, atas tuduhan gagal mencegah genosid serta bersubahat di dalamnya.

Walaupun hakim menolak kes berkenaan pada Januari 2024, beliau menegaskan bahawa tindakan Israel “secara munasabahnya” boleh dianggap sebagai pembunuhan beramai-ramai dan menggesa pentadbiran Biden mempertimbangkan semula “sokongan tidak berbelah bahaginya” terhadap Israel.

“Dalam erti kata lain, mahkamah menyatakan bahawa keputusan dasar luar adalah tanggungjawab Presiden dan Kongres, bukannya badan kehakiman,” ujar Kari.

Menurut Kari, beberapa kes lain yang difailkan bagi pihak rakyat Amerika-Palestin turut ditolak atas alasan prosedur.

Beliau mengimbas kembali saat menerima permintaan bantuan pertama hampir tiga tahun lalu daripada seorang warga Amerika yang terperangkap di Gaza.

Pentadbiran Biden pada mulanya enggan membawa keluar anak guamnya itu, namun wanita berkenaan bersama kira-kira 80 rakyat Amerika yang lain akhirnya berjaya dipindahkan selepas pasukan guaman Kari memfailkan saman terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, anak guamnya yang lain tidak bernasib baik. Mufi Harara dari Dallas terbunuh akibat serangan peluru berpandu yang menurut Kari dibiayai menggunakan wang pembayar cukai Amerika.

Dua lagi anak guamnya, Barack dan Hashim Alaga dari Chicago, ditahan di sebuah penjara Israel ketika sedang menunggu bantuan daripada kerajaan AS.

Menurut peguam yang juga penasihat undang-undang bersama inisiatif itu, Terry Lodge, kes-kes tersebut menyerlahkan harga kemanusiaan yang terpaksa dibayar akibat kegagalan melindungi warganegara Amerika serta menuntut pertanggungjawaban pegawai AS.

“Pembayar Cukai Menentang Genosid bermula dengan satu tindakan saman. Ia ditubuhkan pada September 2024 apabila aktivis di seluruh daerah di Utara California bergabung untuk melancarkan saman tindakan kelas terhadap ahli Kongres mereka, dengan menuduh mereka menyalahgunakan wang pembayar cukai secara haram untuk membiayai genosid,” kata Lodge kepada TRT World.

“Pada Februari 2025, hakim menolak kes itu atas alasan yang hampir sama dengan kes-kes terdahulu, iaitu memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh campur tangan dalam perkara yang dianggap sebagai isu ‘politik’.”

“TAG bersama kumpulan lain di seluruh AS turut mengadakan protes terhadap undian wakil rakyat kami yang terus meluluskan dana untuk genosid. Wakil-wakil rakyat ini sama ada tidak mengendahkan kami, atau jika mereka bersetuju mengadakan pertemuan, mereka sekadar cuba meredakan keadaan sebelum kembali mengundi bagi memastikan aliran senjata dan kelengkapan perang terus disalurkan ke Israel,” jelas Lodge.

Melangkaui Institusi AS

Inisiatif ini digerakkan ketika Trump semakin meningkatkan tekanan terhadap institusi antarabangsa.

Pada Februari 2025, beliau menandatangani perintah eksekutif yang membenarkan sekatan dikenakan terhadap individu dan entiti yang terlibat dalam siasatan ICC ke atas warganegara AS atau sekutunya.

Sejak itu, pentadbirannya telah mengenakan sekatan terhadap pegawai-pegawai ICC serta Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese.

“Selepas berulang kali berdepan halangan politik dalam usaha domestik kami, kami memfailkan laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB sebagai sebahagian daripada semakan rekod hak asasi manusia AS,” kata Kari.

“Tindak balas AS ialah pentadbiran Trump mengumumkan bahawa ia akan menyekat proses Semakan Berkala Sejagat (UPR). Ini merupakan kali pertama dalam sejarah sesebuah negara enggan mengambil bahagian dalam semakan seumpama itu.”

“ICC diwujudkan khusus untuk campur tangan dalam situasi seperti yang kami hadapi di AS sejak tiga tahun lalu. Kami bukan sahaja pemboleh utama kepada genosid ini, malah kami turut ditadbir oleh sistem yang enggan atau tidak mampu mempertanggungjawabkan pemimpinnya sendiri,” tambahnya.

Petisyen itu mendakwa Washington telah melanggar kewajipannya di bawah Deklarasi Amerika mengenai Hak dan Kewajipan Manusia serta norma peremptori undang-undang antarabangsa dengan membolehkan pencabulan hak asasi manusia berlaku di luar sempadannya.

Barisan peguam turut berdepan cabaran besar dalam mendokumentasikan kemungkinan jenayah antarabangsa berikutan kemusnahan di Gaza yang masih berterusan. Penyiasat terpaksa berhadapan dengan kehilangan bukti fizikal, sekatan akses ke lokasi kejadian serta kematian saksi-saksi berpotensi.

Golongan wartawan yang memainkan peranan penting dalam merakam serangan turut membayar harga yang mahal. Menurut laporan Pejabat Media Kerajaan Gaza, serangan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 262 wartawan Palestin dan mencederakan 433 yang lain sejak tahun 2023.

Petugas perubatan yang merawat mangsa cedera serta orang awam yang keluar mencari makanan untuk keluarga mereka juga antara yang terkorban.

Ujian Terhadap Keadilan Antarabangsa

Ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran inisiatif tersebut, Pelapor Khas PBB, Francesca Albanese menyifatkan penyerahan bukti itu sebagai satu usaha penting dalam mempertahankan ketertiban undang-undang antarabangsa daripada cubaan negara-negara berkuasa untuk melemahkannya.

“Undang-undang antarabangsa kekal sebagai instrumen aman terakhir yang kita miliki untuk menentang ketidakadilan dan merintis jalan ke hadapan. Peralatan perundangan itu sudah sedia ada; ia adalah instrumen yang aman, dan apa yang kurang pada ramai pihak hanyalah keberanian politik untuk menggunakannya,” katanya sambil memuji TAAG kerana mempamerkan keberanian tersebut.

Albanese turut mengkritik serangan Washington terhadap ICC, PBB dan Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), dengan berhujah bahawa tindakan itu mencerminkan usaha lebih luas untuk melemahkan institusi yang berupaya mencabar kerajaan-kerajaan berkuasa.

Bukti-bukti berkenaan kini berada di tangan pejabat pendakwa raya ICC. Pasukan guaman TAAG mengakui bahawa proses tersebut bakal berdepan halangan politik dan perundangan yang besar, terutamanya memandangkan tekanan daripada Washington.

“Dari sudut politik, kami memahami tekanan hebat yang sedang dihadapi Mahkamah daripada segelintir kerajaan, khususnya AS,” ujar Kari.

“Kami percaya tekanan sebegini bukan sahaja tidak wajar dari segi politik, malah tidak boleh dipertahankan dari segi undang-undang dan merupakan pelanggaran terhadap Statut Rom yang tidak sepatutnya terlepas daripada hukuman.

“Walaupun kami menyedari wujudnya tekanan politik tersebut, kami berharap pendakwa raya dan Mahkamah akan mempunyai keberanian untuk menolak tekanan itu serta meneliti bukti semata-mata berdasarkan elemen jenayah dan beban pembuktian yang termaktub dalam Statut Rom,” katanya lagi.

Sumber: TRT World

Related Articles

Back to top button