Semasa

JAKOA tidak berdepan masalah Orang Asli antivaksin

ISKANDAR PUTERI : Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak berdepan dengan masalah antivaksin dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Sapiah Mohd Nor, berkata hal ini kerana pendedahan dan penerangan mengenai vaksin COVID-19 serta Tok Batin yang memainkan peranan telah memudahkan proses vaksinasi masyarakat Orang Asli.

“Terdapat sebilangan sahaja yang tidak mahu divaksin kerana takut dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Namun setelah kita memberi pendedahan dan penerangan mereka sambut baik.

Mereka juga memerlukan idola, jika Tok Batin memainkan peranan dan menjadi contoh yang baik, ia tidak akan menjadi masalah dan mereka semua akan ikut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya jabatan itu berdepan masalah antivaksin dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Untuk rekod, Johor adalah antara negeri dengan kadar vaksinasi terendah dan menjelaskan setakat semalam sebanyak 39 peratus iaitu 4,638 daripada 11,884 Orang Asli telah lengkap menerima vaksin.

“Setakat ini juga, seramai 871 Orang Asli telah dijangkiti Covid-19 di Johor dengan jumlah paling ramai di daerah Johor Bahru iaitu 604 pesakit, manakala rekod kematian adalah 10 orang hingga kini, ” katanya.

Bagi program bantuan bakul makanan pula, Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah memperuntukkan sebanyak RM1.53 juta untuk tujuan itu dengan RM49,528 peruntukan bakal memanfaatkan 1,165 penduduk Kampung Orang Asli Masai dan Kampung Orang Asli Simpang Arang di Johor.

– BERNAMA

Related Articles

Back to top button